Home Koronavirus Covid: 86 kes lagi dikesan dalam kalangan mangsa banjir

Covid: 86 kes lagi dikesan dalam kalangan mangsa banjir

0
Covid: 86 kes lagi dikesan dalam kalangan mangsa banjir

KUALA LUMPUR – Sebanyak 86 kes Covid-19 dikenal pasti dalam kalangan mangsa banjir menjadikan jumlah keseluruhannya 267 kes setakat 12 tengah hari Selasa, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, 75 daripada 86 kes yang dilapor hari ini, dikesan melalui saringan kemasukan ke pusat pemindahan sementara (PPS) manakala selebihnya adalah kes Covid-19 sedia ada dan sedang menjalani kuarantin sebelum kejadian banjir.

“Setakat ini tiada kejadian kes positif Covid-19 dilaporkan berlaku dalam kalangan mangsa banjir semasa berada di PPS,” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan situasi Covid-19 pada Selasa.

Beliau berkata, kesemua kes itu diasingkan daripada mangsa banjir yang lain dengan menempatkan sembilan kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hospital (12), PPS kuarantin (62) manakala tiga kes menjalani kuarantin di rumah.

Dr Noor Hisham berkata, kejadian banjir juga berisiko meningkatkan jangkitan penyakit yang lain seperti keracunan makanan iaitu acute gostroenteritis (AGE), tifoid, dan kolera; penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD); leptospirosis; jangkitan saluran pernafasan akut (ARI); penyakit kulit dan denggi.

Menurutnya, setakat ini, sejumlah 203 kes ARI, 73 kes penyakit kulit, 19 kes AGE, 12 kes demam, dua kes cacar air dan 55 kes penyakit berjangkit lain melibatkan mangsa banjir dilaporkan ke Bilik Gerakan Banjir Kebangsaan.

“Bagaimanapun, tiada kes konjunktivitis, tifoid, kolera, HFMD, leptospirosis dan denggi yang dilaporkan sehingga kini,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya cakna akan risiko penyakit berkaitan banjir yang mungkin terjadi dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebaik mungkin bagi membendung penularan Covid-19.

Antaranya, memaklumkan status risiko Covid-19 kepada agensi tindak balas sekiranya disahkan positif Covid-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan.

“Memakai kasut yang bertutup, seelok-eloknya kasut keselamatan sewaktu melakukan proses pembersihan pasca banjir. Elakkan daripada minum air dan makan makanan yang sudah tercemar.

“Sekiranya bergejala, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran terutamanya bagi individu berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil dan individu yang mempunyai komorbiditi,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan kes Covid-19 berikutan SOP yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya akibat banjir.

Bagaimanapun, KKM akan sentiasa memantau keadaan ini dari semasa ke semasa dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya agar penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya Covid-19 dapat dibendung,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here