PUTRAJAYA – Waris pesakit yang memakai gelang pink diingatkan agar tidak menambah risiko jangkitan Covid-19 kepada petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dengan bertindak menghantar barangan keperluan kepada ahli keluarga masing-masing.
Teguran dibuat oleh Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ramacantiran M Ananthan kerana mendapati individu bergelang pink sama ada dijangkiti atau menjadi kontak rapat kes positif hadir ke PKRC MAEPS untuk menghantar barangan keperluan kepada waris yang sedang menjalani rawatan.
Mengakui tindakan sedemikian tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri beliau berkata, ia boleh mendedahkan petugas di pondok keselamatan MAEPS yang menerima serahan tersebut kepada risiko jangkitan kerana mereka tidak dilengkapi pakaian perlindungan diri (PPE).
“Kita faham keadaan waris, mengharapkan ahli keluarga mereka selesa dengan menyediakan barangan keperluan tetapi mereka perlu berfikir tentang 1,300 petugas di PKRC MAEPS yang menguruskan keperluan ahli keluarga mereka sedang terdedah kepada risiko, jangan menambah lagi risiko kami di sini,” katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.
Ramacantiran berharap waris pesakit yang positif Covid-19 atau menjalani kuarantin kerana kontak rapat tidak sesekali datang ke PKRC MAEPS untuk menghantar barangan kepada ahli keluarga mereka dan bersama-sama mengambil tanggungjawab dalam usaha mengekang penularan.
Katanya, usaha membendung jangkitan adalah tanggungjawab bersama dan jangan menyalahkan pihak yang sedang berusaha menyelamatkan nyawa dan negara kerana petugas barisan hadapan di PKRC MAEPS juga perlu melindungi keluarga mereka daripada jangkitan virus itu.
Menurut Ramacantiran, penghantaran barangan keperluan oleh waris pesakit didapati agak keterlaluan sejak kebelakangan ini dengan petugas JKM perlu menguruskan lebih 300 beg setiap hari.
“Sejak kebelakangan ini, JKM perhatikan barang yang dihantar oleh waris kepada pesakit keterlaluan dan terlalu banyak. Pesakit dirawat di PKRC MAEPS berada di sini maksimum 10 hari namun barangan keperluan yang dihantar itu seumpama untuk kegunaan sebulan. Ada menghantar makanan dan pakaian dalam bagasi yang terlalu besar,” katanya.
Beliau berkata, anggota JKM ditugaskan untuk menerima dan menghantar barang kepada pesakit yang sebelum ini digalas polis, ini secara tidak langsung mendedahkan petugas kerana terpaksa masuk ke zon kuning untuk penyerahan barang, namun itu tidak mematahkan semangat mereka walaupun berisiko dan menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.
Untuk mengatasi kesesakan di pondok penyerahan serta risiko penularan, pengurusan PKRC MAEPS kini hanya membenarkan tiga jenis barangan dihantar kepada pesakit oleh waris iaitu ubat-ubatan, susu dan pampers dengan waktu penghantaran daripada 8 pagi hingga 3 petang sahaja dan tidak hadir pada waktu rehat dari 1 tengah hari hingga 2 petang.
Bagaimanapun beliau berkata, atas budi bicara, penghantaran pakaian kepada pesakit yang sehelai sepinggang dibenarkan iaitu pesakit dipindahkan dari mana-mana hospital dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), peralatan dan keperluan berdasarkan kepada pertimbangan dari semasa ke semasa contohnya untuk bancuh susu memerlukan botol susu dan botol air panas.
Sementara itu, orang ramai diminta mendapatkan informasi terkini setempat yang tepat dan sahih mengenai pengoperasian PKRC MAEPS 2.0, mendapatkan panduan kepada pesakit dan waris serta mendapatkan maklumat konsisten sebagai bahan rujukan.
Laman sesawang PKRC MAEPS 2.0 iaitu www.pkrcmaeps.gov.my diaktifkan 1 Julai lepas ditaja sepenuhnya oleh MYNIC Bhd yang juga agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dengan kerjasama Jabatan Penerangan.
Laman tersebut memuat naik pelbagai maklumat berbentuk infografik bagi memudahkan orang awam membuat rujukan sekiranya mereka menjalani kuarantin di PKRC MAEPS 2.0 serta mengajukan soalan atau permasalahan yang mana maklum balas akan diberi dalam masa 24 jam. – Bernama