Home Koronavirus Covid-19: Varian XBB masih dominasi penularan di Malaysia

Covid-19: Varian XBB masih dominasi penularan di Malaysia

0
Covid-19: Varian XBB masih dominasi penularan di Malaysia

Sebahagian pengunjung di sekitar Bukit Bintang dilihat masih memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan wabak Covid-19 yang kini dilaporkan kembali meningkat di negara China ketika tinjauan pada Sabtu. – Foto Bernama

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Penularan jangkitan Covid-19 di negara ini masih didominasi varian XBB yang merangkumi sebanyak 55.4 peratus daripada bilangan sampel yang berjaya menjalani penjujukan genom.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berdasarkan hasil survelan genomik SARS-CoV-2 terkini di Malaysia sepanjang Disember lalu.

Menurut Dr Noor Hisham, ia diikuti dengan varian BA.2.75, meliputi 20.8 peratus dan varian BQ.1 (10.8 peratus).

“Ini menunjukkan bahawa varian XBB masih merupakan varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia sejak bulan Oktober 2022.

“Kedua-dua varian XBB dan BA.2.75 adalah sejenis varian Lineage Under Monitoring (LUM) WHO.

“Data dari negara-negara lain yang telah mengalami penularan XBB seperti Singapura dan India menunjukkan peningkatan bilangan kes jangkitan semula terutama dalam kalangan penduduk yang dijangkiti semasa gelombang Delta atau dijangkiti oleh VOC Omicron sekurang-kurang 6 bulan lalu,” ujar beliau.

Sementara itu, katanya, bilangan kes baharu Covid-19 pada Minggu Epidemiologi ke-52 (ME52/2022) iaitu bagi tempoh 18 hingga 24 Disember lalu merekodkan penurunan 36.5 peratus berbanding minggu sebelumnya daripada 5,880 kepada 3,767 kes.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah tersebut, kes tempatan mencatatkan penurunan 36.5 peratus iaitu sebanyak 3,735 kes, namun merekodkan peningkatan bilangan kes import sebanyak 129.6 peratus dengan 32 kes berbanding 14 kes pada ME51/2022

“Bilangan kes kematian pada ME52/2022 pula berkurangan sebanyak 29 peratus iaitu 31 kes berbanding 22 kes, minggu sebelumnya.

“Purata kes aktif setiap hari bagi minggu terbabit juga menurun sebanyak 14.7 peratus (14,580 kes kepada 12,433 kes),” katanya dalam satu kenyataan berhubung situasi semasa jangkitan wabak itu di dalam negara pada Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, purata nilai kadar kebolehjangkitan (RT) direkodkan pada minggu tersebut ialah 0.79.

Pada masa sama, beliau menambah, turut mencatatkan penurunan berjumlah 24.7 peratus adalah bilangan kes sembuh iaitu daripada 7,791 kes kepada 5,869 kes pada minggu ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here