Home Koronavirus Covid-19: Varian Filipina dikesan di Sarawak

Covid-19: Varian Filipina dikesan di Sarawak

0
Covid-19: Varian Filipina dikesan di Sarawak

KUCHING – Varian Filipina atau varian P.3 virus Covid-19 dikesan di Sarawak, menurut Kumpulan Penasihat Covid-19 Sarawak (SCOVAG)

SCOVAG dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, varian itu dikesan Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak dalam analisis penjujukan genom minggu lalu.

Pengarah IHCM, Profesor Dr David Perera berkata, varian P.3 ditemukan dalam empat sampel diterima dari Kuching dan empat sampel dari Samarahan.

“Mutasi ini didapati mampu mengatasi keimunan daripada perlindungan menerusi pemvaksinan dan perlindungan jangkitan semula jadi serta mempunyai kebolehjangkitan lebih tinggi, “ kata Perera yang juga ahli SCOVAG.

Sementara itu, Perera berkata, penyebaran tidak terkawal virus Covid-19 akan menjurus kepada kemunculan lebih banyak varian yang mungkin mendatangkan kesan ketara ke atas keberkesanan vaksin dan kebarangkalian jangkitan yang lebih teruk.

Beliau berkata, perkembangan berterusan varian baharu Covid-19 menekankan keperluan untuk orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan keperluan mencapai imuniti kelompok menerusi program vaksinasi.

“Usaha ini akan membantu memperlahankan penyebaran virus dan mengurangkan peluang perkembangan varian akan datang di dalam komuniti,” katanya.

Sejak wabak Covid-19 tercetus tahun lalu, IHCM berada di barisan hadapan menentang pandemik itu di negeri ini. Ia diberi tugas melakukan ujian sampel dan analisis penjujukan genom untuk mengesan perubahan di dalam virus itu. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here