Home Koronavirus Covid-19: Tujuh kluster tamat di Sarawak

Covid-19: Tujuh kluster tamat di Sarawak

0
Covid-19: Tujuh kluster tamat di Sarawak

KUCHING – Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada Sabtu mengisytiharkan tujuh kluster tamat setelah tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari melibatkan kluster terbabit.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan memaklumkan tujuh kluster itu ialah Kluster Jalan Ding Lik Kwong di Sibu, Kluster Passin di Matu, Kluster Duranda Emas di Serian, Kluster Sungai Tuah di Kanowit, Kluster Durin di Bau, Kluster Sungai Sebemban di Bintulu dan Kluster Asia Villa di Kuching.

Kenyataan itu menyebut, terdapat satu kluster baharu diisytihar pada Sabtu iaitu Kluster Sungai Sian di Meradong yang merupakan kluster komuniti melibatkan sebuah rumah panjang.

“Virus Covid-19 telah merebak melalui pergerakan sosial dan pergaulan rapat dalam kalangan penduduk di rumah panjang tersebut dengan sejumlah 57 individu telah disaring yang menyaksikan 22 kes telah dikesan positif termasuk kes indeks, 30 kes negatif dan lima kes masih menunggu keputusan makmal,” menurut JPBN.

Jumlah kluster yang masih aktif di Sarawak ialah 79.

JPBN juga memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 11 lokaliti susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan terbabit.

PKPD di Rumah Panjang (Rh.) Agusti Kampung Keropok, Lingga, Sri Aman; Rh. Semangat anak Bubon, Ng Dia, Sangan, Tatau dan Rh. Kanyan anak Abok, Sungai Penyarai, Kakus di Tatau telah bermula semalam hingga 10 Jun.

PKPD di Rh. Igar Bukit Tungku, Engkelili, Lubok Antu; Rh. Garai Sg Minus Jakar, Sarikei; Rh. Sambang, Babang, Saratok; Rh. Tama, Nanga Melupa, Saratok; dan Rh. Daisy, Skim B, Bintangor, Meradong pula bermula Sabtu hingga 11 Jun.

PKPD di Rh. Rimong anak Kilat, Mukah; Rh. Asin anak Aji, Mukah dan Rh. Bija anak Unggang, Mukah akan bermula esok hingga 12 Jun 2021.

Sarawak mencatatkan 726 kes baharu Covid-19 pada Sabtu dengan 430 daripadanya dikesan di daerah Kuching, Kapit, Sibu, Miri dan Subis selain empat kematian dilaporkan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here