JOHOR BAHRU – Bekas pesakit Covid-19, Nor Shahidatul Akma Mohd Noh, bukan sahaja kehilangan ayah akibat pandemik itu malah beliau juga mengakui virus pembunuh berkenaan turut menjejaskan kualiti kesihatan fizikal dirinya.
Guru besar pusat pembelajaran komuniti Rohingya di Kulai, berumur 32 tahun itu berkata, sebelum ini jarang sekali beliau berasa mudah letih apatah lagi mengalami sesak nafas biarpun kehidupan hariannya padat dengan pelbagai aktiviti dan memerlukan banyak pergerakan.
Tetapi akhir-akhir ini, Nor Shahidatul yang telah disahkan positif Covid-19 pada 4 Mei lepas dapat mengesan perubahan pada dirinya iaitu cepat berasa lemah, pening kepala dan sentiasa sesak nafas, walaupun sudah sembuh.
Nor Shahidatul dijangktiti Covid-19 selepas menjadi kontak rapat kepada arwah ayahnya, Mohd Noh Suraidi, 69, seorang ahli jawatankuasa (AJK) surau di kawasan perumahan mereka di Taman Impian Emas, Skudai, di sini yang meninggal dunia pada 16 Mei lepas.
“Selain saya, turut dijangkiti ialah ibu dan dua adik perempuan saya. Kami dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Permai serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) secara berperingkat bermula 6 Mei hingga 16 Mei.
“Menurut petugas kesihatan, kategori simptom yang kami alami adalah berbeza-beza. Saya sebagai contohnya dalam kategori dua (simptom ringan) tetapi setelah dibenarkan pulang, simptom yang saya alami bertambah teruk, menyebabkan saya dimasukkan ke hospital sekali lagi buat kali kedua pada 25 Mei selepas kali pertama pada 9 Mei,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.
Menurut Nor Shahidatul, sepanjang tempoh dijangkiti, kesakitan dialaminya sangat ekstrem kerana berlaku secara berterusan.
“Hampir semua simptom saya ada seperti demam, sakit perut, hilang selera makan, muntah, sakit badan atau lenguh dan sakit dada. Kemudian ia baik.
“Tetapi sudah baik pun, keadaan fizikal saya tetap belum sihat sepenuhnya sehingga kini kerana kadang kala cepat sesak nafas, pening kepala dan kurang bertenaga malah dinasihatkan oleh doktor untuk menjalani rawatan susulan pemeriksaan badan selama enam bulan,” katanya.
Nor Shahidatul berkata, berikutan pengalamannya itu, dia menyeru masyarakat agar tidak memandang ringan mengenai bahaya Covid-19 dan menyarankan mereka untuk mengambil suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan awal.
“Saya tahu bermacam-macam maklumat atau petua di luar sana (media sosial) yang mengalakkan orang ramai untuk minum air termasuk air ketum, cengkih dan makan (cengkih), kononnya dapat mencegah Covid-19. Saya sendiri pernah mencubanya kerana merasakan ia antara bentuk ikhtiar.
“Tetapi selepas dijangkiti, baru saya sedar bahawa maklumat yang tersebar itu masih belum terbukti secara klinikal. Jadi nasihat saya, peroleh maklumat daripada pihak yang betul dan jangan pergi ke tempat yang berisiko jika tiada urusan penting,” katanya. -Bernama