GENEVA – Pandemik Covid-19 yang mula dikesan di Wuhan, China hujung tahun 2019 dan sehingga kini telah menyebabkan lebih 2.5 juta orang meninggal dunia tidak akan berakhir pada hujung tahun ini, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin.
Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan bagaimanapun berkata, angka kematian dan bilangan pesakit yang dimasukkkan ke hospital akibat Covid-19 kemungkinan akan dapat dikurangkan pada tahun ini.
Menurut AFP, beliau berkata, virus tersebut masih wujud dengan menyatakan kes-kes baharu pandemik tersebut meningkat pada minggu lalu selepas enam minggu menunjukkan penurunan.
“Saya rasa tidak realistik. Justeru, saya tidak berpendapat kami akan menghapuskan virus itu menjelang tahun ini.
“Namun, saya berpendapat, kita boleh menghapuskan (virus tersebut) jika kita bijak, mengurangkan kemasukan (pesakit) ke hospital, kematian dan tragedi berikutan pandemik ini,” katanya kepada wartawan,.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, kes-kes baharu meningkat pada minggu lalu di Eropah, Amerika dan tenggara Asia serta timur Mediterranean.
“Ini mengecewakan tetapi tidak mengejutkan. Vaksin Covid-19 akan membantu menyelamatkan nyawa. Tetapi, jika negara-negara bergantung sepenuhnya pada vaksin, mereka akan melakukan kesilapan,” ujarnya.
Beliau turut mengalu-alukan suntikan pertama Covid-19 yang dilakukan di Ghana dan Ivory Coast serta disampaikan menerusi skim global Covax yag mengedarkan bekalan vaksin secara percuma.
“Adalah menggalakkan untuk melihat para pekerja kesihatan di negara-negara yang berpendapatan rendah memulakan program vaksinasi, namun adalah dikesalkan bahawa ia bermula hampir tiga bulan selepas negara-negara kaya memulakan kempen vaksinasi masing-masing
“Sesuatu yang dikesalkan juga bahawa beberapa negara terus mengutamakan vaksin ke atas golongan dewasa sihat tetapi berisiko rendah dijangkiti penyakit dan golongan muda dalam kalangan penduduk berbanding dengan para pekerja kesihatan serta orang lebih tua,” katanya. – Agensi