Home Koronavirus Covid-19: Tiada kluster pendidikan di Perak

Covid-19: Tiada kluster pendidikan di Perak

0
Covid-19: Tiada kluster pendidikan di Perak

BATU GAJAH – Perak masih belum mengesan sebarang penularan Covid-19 melibatkan kluster pendidikan setakat ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, biarpun terdapat kes positif melibatkan pelajar sekolah tetapi ia berlaku di luar sekolah.

Menurutnya, keadaan itu berlaku disebabkan semua institusi pendidikan di negeri ini khususnya sekolah harian amat menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) pelajar ke sekolah bagi membendung penularan virus tersebut.

“Daripada laporan yang diterima melalui Kementerian Pendidikan bagi sekolah-sekolah di Perak, buat masa ini tiada laporan berkaitan kluster. Cuma kita difahamkan, ada pelajar-pelajar yang disahkan positif tetapi bukan positifnya di sekolah, sebaliknya kita mengenal pasti yang pelajar-pelajar tersebut positif sewaktu mereka berada di rumah.

“Bagi pelajar sekolah harian pula, kita berterima kasih kepada semua warga pendidik, cikgu-cikgu yang memainkan peranan sangat penting dan efektif dengan mengambil langkah sepatutnya dengan mengetatkan prosedur SOP ke sekolah sama ada pada awal pagi atau sesi petang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Rewang Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak di Institut GPMS Perak pada Ahad.

Hadir sama, Presiden GPMS, Mohd Alif Anas Md Noor; Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Muhammad Puhaz Saleh dan Pengerusi GPMS Perak, Mohamad Faizal Haramaini.

Ahmad Saidi berkata, setiap pelajar akan dipastikan benar-benar sihat sebelum memasuki kelas dan jika terdapat sebarang simptom, pihak sekolah akan memanggil ibu bapa atau penjaga untuk membawa pulang anak mereka bagi pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, pemeriksaan SOP yang ketat dilakukan pihak sekolah berjaya mengawal penularan virus tersebut menyebabkan tiada sebarang kluster dicatatkan di Perak sehingga kini.

“Jadi daripada tindakan yang sangat pantas dan wajar daripada guru-guru ini, sangat efektif dan efisien. Bagi sekolah harian, laporan yang kita terima kebanyakan pelajar positif dikenal pasti positif di rumah.

“Kebanyakan pelajar positif Covid-19 ini dikesan sebelum mereka dibenarkan masuk ke sekolah ataupun sewaktu mereka mengikuti SOP yang ditetapkan,” jelasnya.

Dalam laporan media pada 31 Januari lalu, kluster pendidikan terus mendominasi penularan Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, daripada 106 kluster yang dikesan bagi tempoh minggu epidemiologi (ME) ke empat yang bermula dari 23 sehingga 29 Januari, 81 atau 76.4 peratus adalah kluster pendidikan.

Beberapa negeri turut mencatatkan kluster pendidikan sebelum ini antaranya Melaka, Kedah dan Negeri Sembilan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here