BANGKOK – Berikutan jumlah kes Covid-19 yang tinggi setiap hari, Thailand telah mengenakan sekatan lebih ketat di Bangkok dan 28 wilayahnya mulai Selasa termasuk menutup beberapa sektor ekonomi.
Untuk membantu sektor perniagaan dan pekerja yang terjejas di 16 wilayah yang baharu disenaraikan sebagai ‘zon merah gelap’, kabinet Thailand pada Selasa meluluskan bantuan tambahan bernilai 30 bilion baht.
Jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata, secara keseluruhan sejumlah 60 bilion baht telah diperuntukkan untuk 29 kawasan yang berada di bawah kawalan diperketatkan.
Menurutnya, kabinet juga mengarahkan Kementerian Tenaga Kerja untuk menyediakan program bantuan untuk pemandu teksi dan motosikal tempatan yang berusia 65 tahun ke atas.
Di bawah sekatan yang bermula pada Selasa, semua pusat beli-belah, tempat urut, pusat kecantikan dan tempat sukan akan ditutup sementara pasar raya dan farmasi dibuka sehingga 8 malam manakala restoran hanya menerima pesanan bawa pulang.
Selain itu, perintah berkurung waktu malam dan larangan perhimpunan awam melebihi lima orang di kawasan ‘zon merah gelap’ dilaksanakan hingga 18 Ogos.
Thailand mencatatkan 18,901 kes baharu Covid-19 dan 147 kematian dalam tempoh 24 jam, mengumpul jumlah keseluruhan kes sebanyak 652,185 dan 5,315 kematian setakat ini.
Dalam satu kenyataan, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) memaklumkan kes baharu termasuk 743 banduan dan tujuh kes import.
“Sebanyak 18,590 pesakit dibenarkan keluar hospital. Terkini, sejumlah 209,039 pesakit masih dirawat di hospital dan hospital medan termasuk 4,893 dalam keadaan kritikal dan 1,046 bergantung pada alat bantuan pernafasan,” menurut kenyataan itu.
Kes kematian pula melibatkan 84 lelaki dan 63 wanita berusia antara 34 hingga 99 tahun termasuk tujuh warga Myanmar. – Bernama