Home Koronavirus Covid-19: Thailand catat kematian harian tertinggi

Covid-19: Thailand catat kematian harian tertinggi

0
Covid-19: Thailand catat kematian harian tertinggi

BANGKOK – Thailand buat pertama kali menyaksikan jumlah korban Covid-19 tertinggi dalam tempoh 24 jam dengan 31 kematian menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 276 orang manakala 2,041 kes dilaporkan.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Apisamai Srirangsan berkata, korban terbaru itu melibatkan 18 lelaki dan 13 wanita berusia antara 31 dan 83 tahun, termasuk 10 dari Bangkok, Nonthaburi (10), dan masing-masing dua dari Pathum Thani dan Nakhon Si Thammarat.

Beliau berkata, kes baharu pula termasuk satu kes import, dengan jumlah keseluruhan ialah 71,025 kes, Bangkok tertinggi dengan 675 kes, diikuti Nonthaburi (277), Samut Prakan (161) dan Chonburi (153).

“Pihak berkuasa Kesihatan Awam mengesan kluster baharu di daerah Khlong Toey, Bangkok. Sejumlah 304 kes Covid-19 baharu dilaporkan di daerah itu bulan lalu.

“Sebahagian besar dilaporkan di komuniti yang padat. Oleh itu, sesi pengesanan besar-besaran akan dilakukan di kawasan terbabit,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini pada Isnin.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan Hospital Siriraj, Prasit Watanapa, berkata Thailand kini bakal menghadapi ‘krisis sebenar’ andai jumlah kes Covid-19 terus meningkat.

“Tolong dapatkan vaksin. Vaksin akan membantu negara ini mencegah penyakit ini merebak, ” katanya seperti dipetik Bangkok Post.

Sementara itu, pakar virologi Universiti Chulalongkorn Dr Yong Poovorawan meminta pihak berkuasa berkaitan untuk meningkatkan penguatkuasaan di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia bagi mengekang penularan virus varian Afrika Selatan B.1.351 ke negara ini.

Dalam catatan di laman Facebooknya, Dr Yong, merangkap Pusat Kecemerlangan Virologi Klinikal di Universiti Chulalongkorn, berkata lima varian telah dikesan di Malaysia termasuk varian Afrika Selatan.

“Ada kemungkinan varian ini akan tersebar ke negara ini melalui selatan Thailand,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here