SINGAPURA – Seorang warga Singapura berusia 84 tahun meninggal dunia akibat Covid-19 pada Jumaat, menjadikan jumlah korban setakat ini 44 orang.
Warga emas itu adalah kematian ketujuh yang dilaporkan bulan ini, memetik data Kementerian Kesihatan Singapura yang dikeluarkan malam Jumaat.
Dilabelkan sebagai kes 66875, lelaki itu mengalami gejala pada 28 Julai sebelum dimasukkan ke Hospital Universiti Nasional pada keesokan hari dan kemudian disahkan positif Covid-19.
“Dia menerima suntikan vaksin Covid-19 dan mempunyai sejarah penyakit kanser, penyakit jantung iskemia, diabetes melitus, hipertensi dan hyperlipidaemia,” menurut kenyataan itu.
Menurut kementerian itu terdapat bukti bahawa hampir semua individu yang lengkap dua dos vaksin tidak mengalami penyakit yang parah apabila dijangkiti, “kecuali mereka mempunyai masalah penyakit kronik membuat mereka lebih mudah dijangkiti.”
“Dalam tempoh 28 hari lalu, peratusan pesakit tidak divaksin yang berada dalam keadaan kritikal atau meninggal dunia adalah 9.6 peratus manakala mereka yang lengkap divaksin adalah 1.0 peratus,” katanya.
Setakat tengah hari, 13 Ogos jumlah kes di negara ini adalah sebanyak 66,061.
Sebanyak 488 kes menerima rawatan di hospital, 30 daripadanya memerlukan bantuan oksigen dan 10 lagi berada di unit rawatan rapi (ICU).
Sementara itu terdapat 116 kluster aktif, yang mencatatkan antara tiga hingga 1,151 jangkitan.
Setakat 12 Ogos, sejumlah 74 peratus penduduk Singapura sudah lengkap divaksin di bawah program vaksinasi kebangsaan dan 81 peratus lagi telah menerima sekurang-kurangnya satu dos. – Bernama