JITRA – “Jangan lupa, hari kelima jemput ayah balik, masa tu mesti dah lega,” pesan Ismail Putih dengan penuh yakin kepada anak-anaknya pada 30 Mei lepas, sebelum menaiki ambulans di rumahnya di Taman Mahsuri, di sini.
Seperti dijanjikan, Ismail, 63, benar-benar ‘pulang’ pada hari kelima, selepas keluar untuk ke pusat kuarantin pesakit Covid-19 di Kulim, dan tatkala mengimbas detik itu, isterinya Fadzilah Kassim, 57, berkata kali terakhir bertentang mata dengan buah hatinya itu, arwah cukup ceria walaupun ‘sakit’.
“Hari tu, sebelum pergi ke pusat kuarantin, arwah sempat bergurau dengan anak-anak dan siap buat video rakamkan perjalanannya ke pusat kuarantin,” katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.
Fadzilah berkata, dia serta tiga anaknya turut disahkan positif Covid-19 dan wabak itu bukan sahaja menyebabkannya kehilangan tulang belakang keluarga, malah 14 jiran yang tinggal di kawasan perumahan sama turut ‘dirampas’, dalam tempoh hanya kira-kira dua minggu.
“Saya kenal mereka semua, kebanyakan dah tua, tapi ada juga yang muda… cepatnya ya Allah, sebaik tiba di Kulim, saya diberitahu keadaan suami terus kritikal dan dia dibawa ke Hospital Kulim dan terus ‘ditidurkan’, pada 4 Jun tepat jam 12 tengah hari, dia dah tak ada.
“Tapi saya rasa macam dia masih ada, sebab masa pergi dia nampak sihat macam biasa, dia cuma ada kencing manis, umur memang dah 60 lebih, tapi dia masih aktif, fit dan ‘handsome’, sekarang rasa macam dia masih dirawat di wad, tak boleh balik lagi,” kata Fadzilah cuba menutup duka di hatinya.
Katanya, beliau masih cuba menerima kenyataan dan bersyukur kerana mendapat sokongan yang kuat daripada ahli keluarga serta rakan-rakan, yang tidak jemu bertanya khabarnya dan anak-anak.
“Arwah dikenali ramai sebab dia bekas pegawai kepada wakil rakyat di kawasan kami, arwah selalu turun bersama untuk tengok masalah dan bantu bagi sumbangan kepada masyarakat, jadi ramai yang kenal arwah, ambil berat anjurkan bacaan Yassin serta tahlil untuk arwah,” katanya.
Sementara itu seorang guru Muhammad Fadlan Aiman Mhd Fadzy, 28, pula berkata, mendapat berita seorang demi seorang jirannya dijemput Ilahi bukannya suatu perkara yang menyenangkan, malah pengalaman itu menyebabkan kedua orang tuanya trauma dan dirundung kesedihan yang teramat.
“Seramai 15 orang jiran kami meninggal dunia disebabkan Covid-19, kebanyakannya adalah kawan rapat mak dan ayah, saya juga kenal mereka sejak kecil, sebab itu mak dan ayah terlalu sedih dengan apa yang terjadi.
“Esok tamat PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan), tapi mak pesan dekat kakak jangan balik rumah tiga bulan, padahal kakak duduk dekat taman kami saja. Mak terlalu trauma, dia tak mahu ambil risiko benarkan anak cucu datang,” katanya yang juga terbabit dalam kluster Dah Mahsuri.
Mengimbas sebelum ini, ibu serta ayahnya mula mendapat simptom Covid-19, Muhammad Fadlan berkata ibunya Azizah Abdullah, 62, mula demam pada hari raya pertama (13 Mei), diikuti ayahnya Mhd Fadzy Ismail, 66, pada raya ketiga dan akhirnya dirinya turut demam.
“Saya dihantar ke pusat kuarantin di Sungai Petani, emak ke Kulim dan ayah ke Hospital Kuala Nerang kerana paras oksigen rendah. Kami tak tahu siapa yang dijangkiti dulu, sebab ayah dan mak memang jemaah surau di taman ni, saya pun selalu ke surau,” katanya.
Muhammad Fadlan berkata perit akibat diserang Covid-19 sukar untuk diceritakan, namun dia bersyukur kerana dia dan keluarganya berjaya mengharungi dugaan itu.
“Saya bersimpati dengan rakan-rakan yang kehilangan ahli keluarga, salah seorang rakan saya yang tinggal berdekatan rumah kami, kehilangan ayah dan datuk sekali gus, sangat menyedihkan,” katanya.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman mengesahkan, seramai 15 jemaah masjid di Taman Mahsuri, yang positif Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh dua minggu lepas.
Beliau dipetik sebagai berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dan wabak itu dikesan mula menjangkiti jemaah masjid terbabit sejak Mei, hingga tercetusnya kluster Dah Mahsuri, membawa pelaksanaan PKPD di Taman Mahsuri di sini, sejak 18 Mei lalu dan akan berakhir esok.