PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju mengecualikan fi atau bayaran ujian pengesanan Covid-19 bagi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata, pengecualian itu akan diberikan kepada pelajar warga Malaysia yang melakukan ujian Covid-19 di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Selaras dengan usaha kerajaan mengekang penularan Covid-19, semua pelajar perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan sesi pengajian.
“Maka, kerajaan akan menanggung semua kos ujian,” katanya yang menganggarkan kos terlibat ialah sebanyak RM2.79 juta.
Bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan buku bertajuk Impak Covid-19 Terhadap Insan, terbitan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara maya pada Khamis, Dr Adham berkata, dianggarkan 18,600 pelajar IPT akan memulakan sesi pembelajaran fizikal secara berperingkat bermula 1 Mac lepas.
Buku tersebut dihasilkan sekumpulan penyelidik dari Pusat Penciptaan Nilai dan Kesejahteraan Insan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM berdasarkan pengalaman mendepani Covid-19 serta penyelidikan saintifik.
Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata, setakat ini, 80,336 individu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech, yang majoritinya ialah petugas barisan hadapan yang disenaraikan dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula pada 24 Februari lepas.
Menurut Dr Adham, kira-kira 271 juta penduduk dunia telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan Amerika Syarikat merekodkan jumlah tertinggi iaitu 80.5 juta penduduk, diikuti China 52.5 juta, Kesatuan Eropah (35.6 juta) dan United Kingdom (21.5 juta).
Menurutnya, Malaysia menduduki tangga ke-68 daripada jumlah keseluruhan negara yang telah dan sedang memberi suntikan vaksin Covid-19.
Beliau turut menyeru rakyat negara ini untuk mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di aplikasi MySejahtera, yang sehingga kini telah merekodkan pendaftaran kira-kira 2.7 juta individu. – Bernama