SHAH ALAM – Malaysia buat pertama kalinya pada Ahad mencatatkan sifar kematian akibat Covid-19 sejak lebih 18 bulan lalu yang menyaksikan kes kematian harian di negara ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kali terakhir negara mencatatkan tiada kematian bagi kes Covid-19 adalah pada 18 Disember 2020.
Khairy turut memberitahu bahawa peralihan kepada transisi endemik juga telah diukur dan dipacu dengan data.
“Hari ini, buat pertama kali sejak 18 Disember 2020, Malaysia melaporkan sifar kematian akibat Covid-19,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Ahad.
Khairy dalam masa sama turut menyeru orang ramai terus berdoa supaya usaha yang dilakukan khususnya dalam menangani Covid-19 melalui peralihan kepada fasa endemik membuahkan hasil.