Home Koronavirus Covid-19: Kluster pendidikan kembali meningkat

Covid-19: Kluster pendidikan kembali meningkat

Covid-19: Kluster pendidikan kembali meningkat

PUTRAJAYA – Kluster pendidikan kembali meningkat pada minggu epidemiologi (ME) ke-48 iaitu daripada 28 November sehingga 4 Disember lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan semula kluster pendidikan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

“Ini memandangkan individu daripada pelbagai isi rumah akan berada dalam ruang dan waktu sama dan ketidakpatuhan seseorang individu terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada akan mencetuskan kluster yang tidak kita ingini,” katanya.

Menurutnya, data mendapati, daripada 16 kluster baharu melibatkan institusi pendidikan, sebanyak 12 kluster berlaku di sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi (IPT).

“Oleh kerana kebanyakan populasi remaja dan dewasa telah lengkap divaksinasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan semula bahawa pengambilan vaksin tidak bermakna pematuhan SOP tidak diperlukan lagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga mempunyai SOP yang telah ditetapkan dan perlu dipatuhi oleh guru, petugas, pelajar, murid, pekerja sokongan dan lain-lain.

“Pematuhan SOP oleh setiap individu ini amat penting untuk memastikan tidak berlaku jangkitan Covid-19 dan penularan jangkitan di sekolah, selanjutnya boleh menyebabkan berlaku dalam keluarga dan komuniti,” ujarnya.

Dr Noor Hisham berkata, pematuhan SOP bukan sahaja penting semasa waktu pembelajaran di dalam kelas dan sekolah, malah ketika waktu rehat, menjalankan aktiviti fizikal seperti bersukan, masuk dan pulang dari sekolah, di dalam van dan bas sekolah, serta semasa menjalankan aktiviti harian dalam komuniti.

“Jangkitan dan penularan boleh berlaku di mana-mana, maka semua pihak perlu peka dan tidak lalai dalam mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, semua indikator utama jangkitan Covid-19 kini mencatatkan penurunan berbanding ME ke-47.

“Dari segi kewujudan kluster baharu pula, semua kategori kluster menunjukkan trend penurunan kecuali kluster pendidikan,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here