Home Koronavirus Covid-19: KKM jangka 500 kes harian menjelang Mei

Covid-19: KKM jangka 500 kes harian menjelang Mei

0
Covid-19: KKM jangka 500 kes harian menjelang Mei

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan 500 kes harian positif Covid-19 menjelang Mei ini, bergantung kepada tahap kepatuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, kata Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan trend penurunan nilai kebolehjangkitan (RT) atau R-naught (R0) iaitu 0.87 semalam berbanding 0.9 pada 28 Feb lepas.

“Namun begitu, sekiranya SOP tidak dipatuhi, RT dijangkakan meningkat semula melebihi 1.0, begitu juga bilangan kes harian,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), di sini hari ini.

Sehingga semalam, katanya kebanyakan negeri telah mencapai nilai RT kurang 1.0 kecuali Terengganu dan Pulau Pinang.

Mengenai taburan kes Covid-19 mengikut daerah di Semenanjung, Dr Adham berkata, bagi tempoh 28 Februari hingga 14 Mac, zon hijau telah meningkat daripada enam daerah kepada 11 daerah.

Daerah terbabit adalah empat di Kedah, masing-masing dua di Pahang dan Perak manakala masing-masing satu di Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Dalam tempoh sama juga berlaku pengurangan zon merah iaitu daripada 42 daerah turun kepada 35 daerah yang direkodkan di Semenanjung, manakala zon kuning meningkat daripada 31 daerah kepada 37 daerah. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here