Home Koronavirus Covid-19: Kes jangkitan harian di Thailand naik mendadak

Covid-19: Kes jangkitan harian di Thailand naik mendadak

0
Covid-19: Kes jangkitan harian di Thailand naik mendadak

BANGKOK – Thailand melaporkan peningkatan ketara kes harian Covid-19 untuk tempoh 24 jam lalu berikutan pengesanan dua kluster baharu, menambah jangkitan keseluruhan kepada 29,321 kes dan 95 kematian setakat ini.

Dua kluster itu ialah kluster penjara Narathiwat dan kluster hiburan Bangkok.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata, Thailand mencatatkan 194 kes baharu dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 182 kes jangkitan tempatan termasuk 95 kes melalui pengesanan kes aktif, 87 kes yang mendapatkan rawatan di hospital dan 12 kes import.

Dalam tempoh sama, 94 kes baharu dilaporkan di Narathiwat dan 46 di Bangkok.

“Pihak berkuasa kesihatan meningkatkan usaha pengesanan kes aktif dan memantau situasi di beberapa wilayah selepas kes baharu dilaporkan.

“Bagi mengelak jangkitan merebak, CCSA sedang mempertimbangkan untuk menutup sementara pusat hiburan selama dua minggu jika kes positif Covid-19 dikesan,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini pada Isnin.

Menteri Kehakiman Somsak Thepsuthin berkata setakat ini, 126 orang kluster penjara disahkan positif.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) Opas Karnkawinpong berkata, setakat ini kes berkait dengan pusat hiburan meningkat kepada 71 termasuk 45 di Bangkok, 11 di Pathum Thani, lapan di Nonthaburi dan tujuh di Nakhon Pathom.

Sementara itu, ketika rakyat bersiap untuk meraikan festival Songkran minggu depan, seorang pakar virologi dari Universiti Chulalongkorn Bangkok Yong Poovorawan memberi amaran Thailand mungkin menghadapi gelombang baharu wabak Covid-19.

“Bersedia untuk melihat kadar jangkitan harian meningkat daripada puluhan kepada ratusan sehari selepas festival Songkran,” katanya seperti dipetik Bangkok Post pada Isnin.- Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here