Home Koronavirus Covid-19: Kes harian baharu meningkat, kes kumulatif 2.46 juta

Covid-19: Kes harian baharu meningkat, kes kumulatif 2.46 juta

0
Covid-19: Kes harian baharu meningkat, kes kumulatif 2.46 juta

KUALA LUMPUR – Angka kes harian baharu Covid-19 yang menurun selepas rekod sekitar 4,000 kes pada pertengahan minggu ini, kembali meningkat.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan kes harian baharu sebanyak 6,060 kes, menjadikan kes kumulatif Covid-19 dalam negara kepada 2,460,809 kes.

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (23 Oktober hingga 29 Oktober 2021), kes paling rendah dilaporkan adalah pada 25 Oktober iaitu 4,782 kes.

Kali terakhir Malaysia merekod kes harian baharu sekitar 4,000 kes adalah pada 22 Jun 2021 iaitu sebanyak 4,743 kes.

Trend kes harian ketara meningkat selepas rekod kes pada 25 Oktober 2021.

Berikut rekod kes harian baharu sepanjang Rangkuman Mingguan Bernama ini:- 23 Oktober – 5,828 kes, 24 Oktober – 5,666 kes, 25 Oktober – 4,782 kes, 26 Oktober – 5,726, 27 Oktober – 6,148 kes, 28 Oktober – 6,377 kes dan 29 Oktober – 6,060 kes.

Faktor rentas negeri (dibenarkan sejak 11 Oktober lepas) dikaitkan dengan peningkatan kes harian baharu Covid-19 dalam negara sejak kebelakangan ini.

Untuk tempoh Rangkuman Mingguan ini, Selangor menunjukkan peningkatan kes sehingga empat angka, seperti berikut:- 23 Oktober (1,037 kes), 24 Oktober (1,077 kes), 25 Oktober (756 kes), 26 Oktober (923 kes), 27 Oktober (1,213 kes), 28 Oktober (1,414 kes) dan 29 Oktober (1,324 kes).

Untuk kes sembuh pula, KKM melaporkan sebanyak 7,297 kes hari ini, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 2,362,919 kes (96.0 peratus).

Data COVIDNOW KKM sehingga pukul 11:59 malam 29 Oktober 2021, menunjukkan kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan sebanyak 70,058 kes, berbanding kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan pada 28 Sept 2021 iaitu 174,492 kes.

Dengan kes kumulatif 2,460,809 kes, Malaysia kini di tangga 20 daripada 223 buah negara/wilayah yang dilanda Pandemik Covid-19.

Di hadapan Malaysia ialah Filipina (2,772,491 kes) dan Ukraine (2,851,804 kes).

Sebanyak 492 kes pesakit memerlukan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat hari ini dan 208 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk kes kematian, jumlah dalam negara meningkat kepada 28,832 kes, apabila sebanyak 63 lagi kes kematian dilaporkan hari ini.

Sementara itu, daripada 6,060 kes harian baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 105 kes (1.7 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5 sementara 5,955 kes (98.3 peratus) tergolong dalam kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit Covid-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5.

Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksijen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan). Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt, ia masih di bawah kadar 1.0 seperti berikut:- 23 Oktober (0.87), 24 Okt (0.88), 25 Oktober (0.89), 26 Oktober (0.91), 27 Oktober (0.94) dan 28 Oktober (0.95). Negeri yang mencatat Ro/Rt yang tinggi pada 28 Oktober adalah Negeri Sembilan (1.04), WP Kuala Lumpur (0.99) dan Melaka (0.98).

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan.

Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Mengenai mutasi spike protein Covid-19 di Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan semalam, sebanyak 261 kes baharu yang kesemuanya adalah Variant of Concern (VOC), iaitu 259 kes varian Delta (B.1.617.2); dan dua (2) kes varian Beta (B.1.351). Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 2,645 kes.

Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 2,625 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.

Perkembangan lain dalam negara

Sehingga 29 Oktober 2021, jumlah kluster yang masih aktif di Malaysia terus menurun kepada 460 kluster.

Secara keseluruhannya, terdapat 5,763 kluster dikesan di negara ini dan 5,303 kluster daripadanya, ditamatkan.

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama ini, berdasarkan laporan KKM, jumlah kluster baharu menurun kepada hanya 46 kluster (63 kluster baharu pada Rangkuman Minggu lalu 16 Oktober hingga 22 Okt 2021).

Kluster terbanyak, kluster tempat kerja, 26 kluster (56.5 peratus), diikuti kluster pendidikan 9 kluster (19.6 peratus).

Perincian 6,060 kes harian baharu pada 29 Oktober 2021 (termasuk + 13 kes import) seperti berikut:- (+kes import) Kes harian baharu empat angka – Selangor 1,324 kes (+4); K​​​​es harian baharu tiga angka – Pulau Pinang 348 kes, Sarawak 566 kes, Kelantan 522 kes, Johor 457 kes (+1), Perak 256 kes, Sabah 587 (+2), Terengganu 251 kes, Kedah 470 kes, Melaka 264 kes, WP Kuala Lumpur 296 kes (+3), Pahang 366 kes (+1) dan Negeri Sembilan 246 kes (+1); Kes harian baharu dua angka – Perlis 40 kes, WP Labuan 11 kes dan WP Putrajaya 43 kes (+1). – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here