Home Koronavirus Covid-19: Jumlah pulih di Sarawak lebih 80 peratus setakat ini

Covid-19: Jumlah pulih di Sarawak lebih 80 peratus setakat ini

0

KUCHING – Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj di negeri ini mencecah 81.58 peratus atau seramai 42,898 orang setakat ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Ini termasuk 541 kes yang pulih dan dibenarkan discaj pada Selasa, menurut JPBN dalam satu kenyataan.

Kes keseluruhan Covid-19 kini pula meningkat kepada 52,581 selepas mencatatkan 707 lagi kes baharu pada Isnin, manakala jumlah kes aktif yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan di wad hospital ialah seramai 9,240 orang.

Jabatan Kesihatan Sarawak turut mengisytiharkan satu kluster baharu iaitu kluster Ulu Teru, Beluru, yang merupakan kluster komuniti melibatkan sebuah rumah panjang di Kampung Lubok Mulong, yang mana daripada 468 individu yang disaring, 46 dikesan positif, 360 negatif dan 62 lagi masih menunggu keputusan makmal.

Menurut JPBN, setakat ini jumlah kluster yang masih aktif di Sarawak ialah sebanyak 75 dengan 13 daripadanya merekodkan 146 penambahan kes baharu manakala 62 kluster tidak merekodkan pertambahan kes.

JPBN turut mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti iaitu di Rumah Panjang (Rh) Menari, Sungai Durin, Sibu bermula semalam hingga 20 Jun ini manakala Rh Ayu Stok, Sarikei dan Rh. Bungkong, Nanga Sejunam, Julau bermula semalam hingga 23 Jun.

Sementara itu, PKPD di Rh. Sebastian Ngalang, Batu 6, Jalan Oya, Sibu diumum dilanjutkan hingga 17 Jun ini. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here