Home Koronavirus Covid-19: Jumlah penggunaan katil ICU di Selangor meningkat

Covid-19: Jumlah penggunaan katil ICU di Selangor meningkat

0
Covid-19: Jumlah penggunaan katil ICU di Selangor meningkat

SHAH ALAM – Jumlah penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital seluruh Selangor yang merawat kes Covid-19 kategori tiga, empat dan lima meningkat dua peratus sejak dua minggu lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, ia berikutan peningkatan kes baharu harian Covid-19 di Selangor daripada 1,300 hingga 1,500 kes dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, jumlah terkini katil di ICU dan ‘repurposed’ ICU di Selangor termasuk kes Covid-19 dan bukan Covid-19 adalah sebanyak 203 katil dengan kadar penggunaannya sebanyak 80 peratus.

“Jumlah katil bukan kritikal di hospital bagi pesakit Covid-19 adalah sebanyak 1,286 katil dengan kadar penggunaan sebanyak 92 peratus setakat Khamis.

“Bagi wad ICU di hospital hibrid iaitu Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan hospital bukan Covid-19 iaitu Hospital Shah Alam dan semua hospital daerah di Selangor, jumlah pesakit ICU terkini kes Covid-19 ialah sejumlah 86 kes iaitu 42 peratus daripada kapasiti ICU di Selangor dan selebihnya merupakan kes bukan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, mengulas mengenai peningkatan kes Covid-19 di ICU Hospital Sungai Buloh, Dr Sha’ari berkata, ia berlaku disebabkan status Hospital Sungai Buloh sebagai Hospital Full Covid-19 dan menjadi hospital rujukan Covid-19 bagi semua hospital bukan sahaja di Lembah Klang.

Beliau berkata, bilangan katil di ICU Hospital Sungai Buloh adalah 54 buah dengan penggunaan sebanyak 96 peratus setakat Khamis.

“Hospital Sungai Buloh juga menerima kes Covid-19 dari hospital lain agar ICU hospital lain boleh digunapakai untuk menampung lebih banyak keperluan kes bukan Covid-19,” katanya.

Katanya, sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi peningkatan kes Covid-19 yang memerlukan kemasukan ke Hospital Sungai Buloh, Sistem Gas Oksigen di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) ditambah baik bagi menampung kes-kes Covid-19 untuk mengurangkan beban hospital itu.

“Selain itu, Hospital Sungai Buloh disokong juga oleh hospital-hospital lain di Lembah Klang sekiranya diperlukan untuk menampung keperluan kemasukan kes Covid-19 ke hospital atau ICU,” katanya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here