Home Koronavirus Covid-19: Hilang dua ahli keluarga selang sehari

Covid-19: Hilang dua ahli keluarga selang sehari

0
Covid-19: Hilang dua ahli keluarga selang sehari

KUALA LUMPUR – Hati siapa yang tidak luluh apabila dua insan tersayang pergi buat selama-lamanya dalam masa selang sehari akibat jangkitan virus Covid-19.

Itulah saat getir yang terpaksa dilalui oleh Abdul Rahim Daim, 48, apabila adiknya, Abdul Malik Daim, 43, meninggal dunia pada 22 Mei lalu di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Maeps, Serdang disusuli ibu tercinta, Patimah Babu, 75, keesokan hari di Hospital Sungai Buloh.

Lebih memeritkan, tujuh daripada sembilan ahli keluarga lain termasuk isteri dan tiga anaknya turut disahkan positif, selepas anak, adik dan ibunya mengadu demam dan batuk pada hari raya ketiga.

Ketika dihubungi Bernama, Abdul Rahim mengakui beliau tidak menyangka kegembiraan mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri baru-baru ini menjadi kenangan terakhir sebelum wabak itu meragut nyawa dua insan yang tersayang.

“Bimbang melihat keadaan kesihatan anak, adik dan mak, saya tanpa berfikir panjang membawa mereka dan ahli keluarga lain melakukan ujian saringan Covid-19. Perkara yang ditakuti benar-benar terjadi apabila ibu dan beberapa ahli keluarga yang lain disahkan positif.

“Hanya saya dan anak perempuan negatif ketika itu, jadi saya kemudian meminta yang positif buat persiapan untuk pergi buat saringan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati, Shah Alam keesokan hari tanpa menunggu ambulans datang ke rumah,” katanya ketika menceritakan detik-detik kehilangan tersebut.

Selepas menjalani penilaian CAC di Stadium Melawati, ibu beliau dibawa ke Hospital Sungai Buloh selepas pernafasannya kurang baik. Pada masa sama, ibunya mengalami komplikasi buah pinggang dan diabetes manakala adiknya pula dihantar ke PKRC MAEPS.

“Ahli keluarga yang lain pula diarah melakukan kuarantin di rumah,” katanya yang menetap di Puchong.

“Pada pagi Sabtu, 22 Mei saya telefon adik kerana dia minta hantarkan pakaian dan sejadah, namun panggilan saya tidak dijawab. Sehinggalah saya dapat panggilan supaya datang ke hospital Serdang, dan mendapat berita adik telah meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.

“Mereka cuba diselamatkan tapi gagal, kemungkinan dia dah tiada semasa di MAEPS pada pukul 9 pagi lagi,” kongsinya sambil mengesahkan video pasukan perubatan memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada seorang pesakit di MAEPS yang tular adalah adiknya.

Dugaan beliau tidak terhenti di situ. Belum pun sempat menyelesaikan urusan dokumentasi kematian adiknya, tidak lama kemudian Abdul Rahim menerima panggilan dari Hospital Sungai Buloh yang memaklumkan ibunya tenat.

“Kami sekeluarga sempat buat panggilan video, mak memohon maaf atas salah silap selama membesarkan kami adik-beradik, dan itulah perbualan terakhir kami sebelum beliau disahkan meninggal dunia sekitar pukul 2 pagi,” luahnya.

Abdul Rahim yang merupakan kakitangan Media Prima Berhad menjelaskan, jenazah ibu dan adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 Subang Jaya pada petang Ahad.

Ditanya mengenai punca jangkitan Covid-19 yang berlaku dalam kalangan keluarganya, Abdul Rahim sendiri kurang pasti.

“Perkara yang berlaku menjadi satu pengajaran buat ahli keluarga saya.

“Sehubungan itu, saya ingin berpesan kepada seluruh rakyat Malaysia, jangan leka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, kita tidak tahu punca Covid-19 itu dan kita tidak tahu siapa pembawanya,” pesan Abdul Rahim. -Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here