Home Koronavirus Covid-19: Empat kes baharu varian Omicron dikesan di Sarawak

Covid-19: Empat kes baharu varian Omicron dikesan di Sarawak

0
Covid-19: Empat kes baharu varian Omicron dikesan di Sarawak

KUCHING – Sebanyak empat kes B.1.1.1.529 atau varian Omicron telah dikesan di Sarawak, kata Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (ICHM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof David Perera.

Beliau berkata, dua daripada kes dilaporkan dari Bintulu membabitkan seorang lelaki berusia 52 tahun yang pulang dari Nigeria dan menjalani ujian swap pada 19 Disember, dan lelaki berusia 19 tahun yang pulang dari United Kingdom yang telah melakukan ujian swap pada 14 Disember.

“Dua lagi kes dikesan di Kuching. Satu kes melibatkan seorang wanita berusia 25 tahun yang pulang dari United Kingdom. Beliau melakukan ujian calitan pada 22 Disember manakala kes lain ialah seorang wanita yang tidak mempunyai sejarah perjalanan, berkemungkinan kes penularan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dr Parera yang merupakan ahli Kumpulan Penasihat Covid-19 Sarawak (SCOVAG) berkata, memandangkan kes varian Omicron kes tempatan ini berkemungkinan mudah merebak dalam komuniti, maka orang ramai digesa supaya berhati-hati semasa meraikan sambutan Krismas, cuti Tahun Baharu dan hujung tahun.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan suntikan dos penggalak jika mereka belum berbuat demikian kerana kajian telah menunjukkan bahawa suntikan dos itu perlu untuk meningkatkan tahap antibodi secara neutral bagi melindungi diri daripada jangkitan Omicron.

“SOP (prosedur operasi standard) kesihatan awam perlu dipatuhi dengan ketat dan jika boleh elakkan berhimpun bagi mencegah penularan lebih teruk,” katanya.

Pada 18 Disember, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, dua kes Covid-19 varian Omicron direkodkan di Sarawak pada 17 Disember, masing-masing melibatkan pengembara dari United Kingdom dan Amerika Syarikat.– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here