HULU TERENGGANU – Bermula hanya 19 individu daripada dua keluarga positif Covid-19 akibat rentas negeri dan ziarah Aidilfitri, akhirnya tiga buah kampung di daerah ini dijangkiti Covid-19.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, pandemik itu kini telah merebak sehingga mencetuskan Kluster Kampung Matang yang disifatkan kluster terbesar di Hulu Terengganu setakat ini.
“Hasil siasatan menunjukkan berlakunya rentas negeri sebelum raya. Ada pula ziarah raya dan kunjung mengunjung melibatkan keluarga besar. Bayangkan 19 dikesan positif dari hanya daripada dua keluarga.
“Selepas Aidilfitri mereka masuk kerja dan tanpa disedari menjangkiti rakan sekerja pula. Lebih risau sudah ada jemaah masjid dijangkiti seterusnya menjangkiti individu lain,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi berkata, Kluster Kampung Matang kini telah merebak ke tiga buah kampung iaitu Felcra Bukit Kepah, Kampung Tengkawang dan Kampung Pulau Kudat selain kluster itu juga masih aktif.
Menurutnya, setakat ini seramai 127 kes positif dikesan dari kluster ini yang telah merebak hingga ke generasi ke lima dengan 725 orang kontak rapat.
Beliau berkata, jumlah itu tidak termasuk saringan bersasar yang melibatkan beberapa buah kampung manakala sebanyak 975 sampel yang diambil masih menunggu keputusan.
“Kita akur, jangkitan dalam keluarga agak sukar dibendung namun apabila melibatkan beberapa keluarga, jiran tetangga dan pejabat akhirnya merebak hingga ke beberapa buah kampung, perkara ini amat kita kesal dan marah.
“Jika keadaan begini berterusan dan kluster baharu tumbuh bagai cendawan bila masa kita boleh kawal semua kluster itu serentak? Jika keadaan begini berterusan mampukah kita landaikan lekuk epid dalam masa dua minggu ini?,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Nor Azimi menegaskan, kawalan kendiri amat penting dilakukan pada masa ini.
“Kawalan kendiri sangat penting. Jika kita kekal duduk rumah kecuali ada urusan penting maka kita tidak akan dijangkiti atau menjangkiti orang lain. Insya-ALLAH, pencegahan itu sangat lebih baik dari merawat,”katanya.