KUALA LUMPUR – Jumlah populasi dewasa di Malaysia yang lengkap menerima vaksin Covid-19 kini mencecah 21,960,911 orang atau 93.8 peratus setakat jam 11.59 malam Ahad, demikian menurut data Kementerian Kesihatan di portal CovidNow.
Dalam tempoh sama, sebanyak 97.2 peratus populasi dewasa atau 22,745,310 individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Pada Ahad, sejumlah 134,180 dos vaksin diberikan melibatkan golongan dewasa dan remaja yang menjadikan kumulatif dos vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar sejak 24 Februari lepas meningkat kepada 47,838,886.
Sementara itu, 2,662 dos penggalak kepada kumpulan sasar turut diberikan pada Ahad menjadikan jumlah keseluruhan dos penggalak diberikan kini 21,477.
Bagi kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat Ahad 806,330 individu atau 25.6 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin, manakala 2,463,207 individu atau 78.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi PICK bagi golongan itu yang bermula sejak 8 September lepas. – Bernama