Home Koronavirus Covid-19: 6,968 kes baharu direkodkan

Covid-19: 6,968 kes baharu direkodkan

Covid-19: 6,968 kes baharu direkodkan

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 6,968 kes Covid-19 baharu pada Khamis, meningkat berbanding 6,069 kes pada Selasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di dalam negara meningkat kepada 4,409,202.

Menurut beliau, jumlah berkenaan melibatkan 6,936 kes tempatan dan 32 kes import.

“Daripada jumlah itu sebanyak 2,854 kes atau 40.96 peratus merupakan pesakit Covid-19 kategori satu, manakala 4,083 kes atau 58.60 peratus membabitkan kategori dua.

“Sementara itu, sebanyak 11 kes atau 0.16 peratus bagi kategori tiga, lapan kes atau 0.11 peratus kategori empat dan 12 kes atau 0.17 peratus kategori lima,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan bagi pesakit kategori tiga hingga lima, sembilan kes dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian tersebut.

“Sebanyak 15 kes sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, tetapi tidak menerima dos penggalak sementara 12 kes lagi sudah menerima dos penggalak.

“Selain itu, 15 kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan 12 kes lagi mempunyai komorbid,” katanya.

Tambahnya, hanya empat kluster baharu direkodkan pada Selasa menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif adalah sebanyak 106 kluster.

“Sebanyak 97 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 58 daripadanya disahkan Covid-19, manakala kes disyaki kemungkinan dan kes dalam siasatan pula adalah sebanyak 39,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 63 kes memerlukan bantuan pernafasan dengan 38 kes disahkan Covid-19 dan 25 lagi kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Beliau turut memaklumkan negara merekodkan sebanyak 8,267 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kepada 4,283,013 kes setakat ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here