Home Koronavirus Covid-19: 50 peratus kemasukan ke PKRC direkodkan di Pulau Pinang

Covid-19: 50 peratus kemasukan ke PKRC direkodkan di Pulau Pinang

0
Covid-19: 50 peratus kemasukan ke PKRC direkodkan di Pulau Pinang

GEORGETOWN – Kira-kira 50 peratus kemasukan pesakit ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) direkodkan selepas peningkatan kes Covid-19 di Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, walaupun keadaan masih terkawal,namun kerajaan negeri tetap menjalankan pemantauan dengan teliti keadaan semasa.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang menyiapkan kemudahan sedia ada dan akan dibuka sekiranya perlu.

“Seperti yang saya umumkan sebelum ini, kerajaan negeri akan membuat persiapan bagi memastikan kemudahan kita mencukupi bagi menampung peningkatan kes Covid-19.

“Bagaimanapun, daripada statistik Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), lebih 90 peratus kes Covid-19 di negeri ini adalah dalam kategori 1 dan 2. Oleh itu, kemasukan ke fasiliti penjagaan kesihatan dan PKRC masih terkawal.

“Saya difahamkan, kemasukan mungkin mencecah 50 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MTT Properties and Development Sdn Bhd (MTTPSB) dan Selgate Properties Sdn Bhd (SPSB) pada Khamis.

Pulau Pinang mencatatkan empat digit kes Covid-19 yang konsisten sejak beberapa hari kebelakangan ini dengan 2,142 kes pada Rabu menjadikan kes kumulatif kepada 184,496 manakala 10,267 daripadanya adalah kes aktif.

Sejak permulaan penularan Covid-19 pada Mac 2020, Pulau Pinang telah mencatatkan 1,792 kematian akibat wabak tersebut.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut merayu ibu bapa supaya membenarkan anak-anak mereka divaksinasi di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk Kanak-kanak Covid-19 (PICKids) yang sedang dijalankan agar dilindungi dengan lebih baik.

Beliau turut meminta mereka yang layak mendapat suntikan dos penggalak supaya berbuat demikian sebaik sahaja diberi janji temu sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau secara ‘walk-in’.

Ini akan memberikan perlindungan tambahan kepada mereka walaupun telah menerima dua dos sebelum ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada Pulau Pinang akan menguatkuasakan sebarang sekatan berikutan lonjakan kes Covid-19, termasuk bazar Ramadan pada bulan puasa yang akan datang, Kon Yeow berkata, pihak berkuasa kesihatan telah membuat pengumuman bahawa bazar Ramadan akan dibenarkan pada tahun ini.

“Ketika pengumuman itu, sudah tentu (situasi Covid-19) akan terus berubah, saya percaya Kementerian Kesihatan perlu menilai keadaan itu dari hari ke hari untuk melihat sama ada keputusan itu kekal atau sebaliknya,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here