Home Koronavirus Covid-19: 41.6 peratus pesakit kategori tiga hingga lima

Covid-19: 41.6 peratus pesakit kategori tiga hingga lima

0
Covid-19: 41.6 peratus pesakit kategori tiga hingga lima

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Sejumlah 507 pesakit daripada 14,944 kes baharu Covid-19 dimasukkan ke hospital pada Jumaat dengan 41.6 peratus dalam kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui kenyataan pada Sabtu memberitahu, peratusan itu melibatkan sebanyak 211 kes manakala 296 kes atau 58.4 peratus yang dimasukkan ke hospital merupakan kategori satu dan dua.

Menurutnya, daripada 14,944 kes harian yang dilaporkan, sebanyak 9,341 kes (62.51 peratus) merupakan kategori satu manakala 5,537 kes dalam kategori dua dan 66 kes bagi kategori tiga, empat dan lima.

“Daripada 66 kes Covid-19 kategori kategori tiga, empat dan lima, 11 kes (16.67 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 35 kes (53.03 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.

“Sebanyak 20 kes (30.30 peratus) menerima dos penggalak, 33 kes (50 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas; dan 32 kes (48.48 peratus) mempunyai komorbid,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Selangor merupakan satu-satunya negeri yang mencatatkan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) hospital melebihi 50 peratus iaitu sebanyak 56 peratus.

Tambah beliau, Katil Bukan ICU bagi hospital awam di Selangor turut menunjukkan peratusan pengisian tertinggi iaitu 50 peratus.

“Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat kepada 109 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator sebanyak 13 peratus,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak dua kluster baharu dikenal pasti menjadikan jumlah kluster sebanyak 6,947 sejak pandemik melanda negara.

“Sejumlah 135 kluster masih aktif manakala 6,812 kluster telah tamat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here