Home Koronavirus Covid-19: 35 pelajar positif, Maktab Mahmud Baling ditutup

Covid-19: 35 pelajar positif, Maktab Mahmud Baling ditutup

Covid-19: 35 pelajar positif, Maktab Mahmud Baling ditutup

ALOR SETAR – Maktab Mahmud Baling ditutup bermula 18 hingga 25 April ini bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 selepas 35 pelajarnya dikesan positif.

Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, mereka kini sedang dikuarantin dan berada di dalam pengawasan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Baling.

Menurutnya, maktab yang berada di bawah Sekolah Agama Kerajaan Negeri Kedah tersebut melibatkan Kluster Jalan Weng dan PKD berusaha untuk mengekang penularan kluster terbabit.

“Mengenai dengan Maktab Mahmud Baling, sekarang ini ada 35 kes positif Covid-19 dan sekolah ditutup sehingga 25 April. Mereka yang terlibat telah dikuarantin oleh PKD untuk tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Sinar Harian berhubung tujuh pelajar Maktab Mahmud Baling positif Covid-19 pada 17 April lalu dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah masih lagi sedang menyiasat punca kluster jangkitan pandemik tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, perkembangan kluster pendidikan di Kedah tidak besar seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

Menurutnya, kes positif yang membabitkan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di negeri adalah seramai 29 pelajar bermula 1 hingga 21 April 2021.

“Kes-kes ini melibatkan lapan buah sekolah di sekitar Kulim dan Baling. Kita baru sahaja ada perbincangan dengan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin yang mahu usaha bersepadu dilakukan bagi mengekang kluster pendidikan ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Najmi berkata, lima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling turut disahkan positif Covid-19 dan sekolah tersebut turut ditutup bermula Khamis hingga 28 April ini bagi tujuan kerja-kerja pencegahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here