KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan 6,900 kes sembuh Covid-19 setakat pada Rabu, lebih tinggi berbanding 3,471 kes baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Menerusi kenyataan hari ini Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan, sebanyak 3,461 adalah kes tempatan, manakala 10 kes import.
Beliau berkata, daripada keseluruhan 27 kes bagi kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan, sebanyak lima kes tidak divaksin atau belum lengkap vaksinasi, 13 kes telah mendapat dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak manakala sembilan kes telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, sebanyak 13 kes berumur 60 tahun dan ke atas direkodkan, manakala 14 kes mempunyai komorbid,” katanya.
Perkembangan terbaharu itu menjadikan kumulatif kes Covid-19 dalam negara kini adalah 4,440,383, selain dua kluster baharu dilaporkan pada Rabu, menjadikan jumlah kluster aktif, 91 kluster.
Sementara itu, bagi penggunaan fasiliti kesihatan khusus untuk kes Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, tiada negeri yang mencatat penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) dan katil bukan ICU melebihi 50 peratus.
Beliau berkata, sebanyak 98 kes memerlukan rawatan di ICU pada Rabu, manakala kes yang memerlukan bantuan pernafasan sebanyak 63 kes.
Berhubung kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau nilai Rt, Dr Noor Hisham berkata, Rt dicatatkan seluruh negara adalah 0.70 dengan Putrajaya merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.05
“Walaupun kelonggaran prosedur operasi standard telah diberikan, Kementerian Kesihatan Malaysia berharap agar rakyat sentiasa berwaspada dengan mengamalkan kawalan kendiri kerana virus Covid-19 masih berada dalam kalangan masyarakat,” katanya. – Bernama