SEPANG – Sebanyak 250 kes kematian Covid-19 direkodkan di daerah ini sejak 16 hingga 24 September, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussain.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, kawasan Dengkil mencatatkan sebanyak 170 kematian sekali gus menjadi lokasi tertinggi merekodkan jumlah mangsa Covid-19 di daerah ini bagi tempoh sama.
Beliau berkata, jumlah kumulatif kes Covid-19 di daerah Sepang yang direkodkan sehingga kini pula adalah 36,925 kes.
“Saya berharap pengunjung dari luar Sepang dapat berhati-hati ketika datang ke sini dan mengamalkan kawalan kendiri dengan sebaiknya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pantai Bagan Lalang di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Abd Hamid berkata, pihaknya juga telah meningkatkan kapasiti pengawasan bagi pengoperasian di Pantai Bagan Lalang dengan kerjasama pelbagai agensi dalam usaha memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Tambah beliau, pihaknya juga meminta kerjasama semua pengunjung agar dapat menjaga kebersihan pantai itu dengan sebaiknya.
“Saya juga ambil kesempatan ini untuk ingatkan semua agar dapat melaksanakan pematuhan kendiri tanpa menunggu penguatkuasaan pihak berkuasa dalam usaha menangani penularan Covid-19,” katanya.