Home Koronavirus CAC Stadium Malawati terus ‘diserbu’ pesakit Covid-19

CAC Stadium Malawati terus ‘diserbu’ pesakit Covid-19

0
CAC Stadium Malawati terus ‘diserbu’ pesakit Covid-19

SHAH ALAM – Jumlah individu yang menyerbu Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati di Seksyen 13 di sini kekal luar biasa apabila lebih kurang 2,000 beratur panjang di luar CAC berkenaan sejak awal pagi Rabu.

Jumlah ini dijangka terus meningkat apabila semakin ramai warga Selangor disahkan positif Covid-19 susulan saringan pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) selain kehadiran pesakit dari daerah berdekatan.

Bagaimanapun, tinjauan Sinar Harian mendapati pihak pengurusan CAC tenang mengawal keadaan dan mengekalkan orang ramai dalam barisan tanpa menghadapi sebarang masalah dan bantahan terbuka.

Tinjauan juga mendapati kebanyakan pesakit daripada pelbagai peringkat umur itu tiba seawal jam 9 pagi diarah beratur di kawasan luar berhampiran parkir kenderaan dan jalan besar untuk menunggu giliran.

Mereka juga bergerak perlahan-lahan menuju ke khemah dan setakat pagi ini tiada yang dilihat rebah ataupun pengsan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 4,000 lapor diri, CAC Stadium Malawati seperti medan perang

Sementara itu, Pengurus Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) yang juga koordinator bagi kemudahan fasiliti diperlukan oleh CAC, Ahmad Sayuti Bashiron berkata, jumlah sebenar kehadiran tidak dapat dipastikan.

“Saya tidak tahu jumlah sebenar secara keseluruhan yang mendaftar di dalam, namun jangkaan saya yang beratur di luar ini jumlahnya adalah lebih kurang 2,000 orang,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, pengurusan CAC di Selangor dilaporkan akan dinilai dan tambah baik khususnya berkaitan proses pendaftaran pesakit, bekalan tangki oksigen dan penambahan bilangan petugas kesihatan.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menganggarkan berapa jumlah kakitangan yang akan ditambah dan dimobilasi ke CAC di seluruh Selangor.

Menurut beliau, pihaknya sudah mengecilkan pengoperasian di beberapa pusat kesihatan termasuk rawatan kes kronik sehingga 25 peratus dan membuka CAC pada setiap hari serta memobilasi petugas kesihatan.

“Kita juga menambah kelengkapan seperti khemah dan kerusi untuk memudahkan pesakit yang hadir selain turut mendapat bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu menguruskan makanan serta kebajikan pesakit.

“Kita juga akan memastikan pusat penilaian ini dilengkapi dengan oksigen yang mencukupi dan pesakit mendapatkan bantuan oksigen sebelum dirujuk ke hospital,” katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here