Home Koronavirus Bomba bantu pindah mayat pesakit Covid-19 alami obesiti

Bomba bantu pindah mayat pesakit Covid-19 alami obesiti

Bomba bantu pindah mayat pesakit Covid-19 alami obesiti

SUNGAI PETANI- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah pada Isnin telah melakukan operasi memindahkan mayat pesakit Covid-19 yang mengalami masalah obesiti.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Muhamad Syukri Hashim berkata, operasi bermula dengan memindahkan mayat seorang lelaki berusia 27 tahun seberat kira-kira 190 kilogram dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Berapit Tikam Batu.

Menurutnya, buat pertama kali di Kedah, JBPM diminta membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berdepan kekangan dari segi pengangkutan dan tenaga kerja.

“Operasi hari ini melibatkan 10 anggota dari BBP Tikam Batu membabitkan sebuah lori dan tiga buah kenderaan utiliti dalam membantu KKM menguruskan mayat pesakit obesiti.

“Pergerakan bermula dari BBP Tikam Batu ke kawasan perkuburan di mana proses sanitasi di kawasan perkuburan telah dilakukan terlebih dahulu, lori kemudian bergerak ke HSAH kira-kira jam 3.15 petang untuk memindahkan mayat ke kawasan pengebumian dengan diiringi anggota polis,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba turut membantu proses pengebumian di tanah perkuburan.

“Kita menerima maklumat bahawa mangsa yang mengalami masalah obesiti meninggal dunia pada jam 2.44 pagi dan dimaklumkan untuk bantuan pihak bomba pada jam 8.30 pagi bagi proses pemindahan mayat dan pengebumian,” katanya.

Bagi memastikan operasi berjalan lancar, beliau meminta setiap anggota agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Setiap anggota dikehendaki memakai alat pelindung diri (PPE) termasuk pelitup muka dan pelindung muka,” katanya.

Muhamad Syukri berkata, operasi pengebumian selesai kira-kira jam 6.14 petang.

“Kita juga meminta orang ramai di luar sana agar mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here