Home Koronavirus Berpelukan di majlis, KKM kompaun Kit Siang

Berpelukan di majlis, KKM kompaun Kit Siang

0
Berpelukan di majlis, KKM kompaun Kit Siang

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada Mentor DAP, Lim Kit Siang kerana berpelukan dalam satu majlis sosial ketika Kongres Ke-17 parti berkenaan pada Ahad.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di Twitternya pada Selasa.

Khairy turut memuat naik kompaun yang tertera tarikh kesalahan iaitu 20 Mac lalu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam dan diterima oleh anak Kit Siang, Lim Hui Ming.

Beliau turut menerangkan kesalahan iaitu Perkara 16 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 iaitu enggan mematuhi apa-apa arahan oleh Ketua Pengarah dengan berpelukan dalam majlis sosial.

Pada Isnin, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi hantaran di Facebooknya mempersoalkan mengenai Kit Siang yang tidak dikenakan kompaun selepas berpelukan di kongres tersebut.

Dalam ciapan sama, Khairy turut berharap Najib membayar satu kompaun yang dikeluarkan kepadanya ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang masih belum diselesaikan.

“KKM juga berharap Najib menerima empat lagi kompaun yang dihantar melalui pos daftar yang enggan diterima oleh pegawai Datuk Seri sebelum ini,” ciapnya di Twitter itu.

Kompaun sudah dikeluarkan kepada @limkitsiang. KKM juga harap @NajibRazak bayar satu kompaun yang dikeluarkan semasa PRN Johor yang masih belum settle. KKM juga harap @NajibRazak menerima 4 lagi kompaun yang dihantar melalui pos daftar yang pegawai DS enggan terima sebelum ini. https://t.co/6wS3eO3lOK pic.twitter.com/xXFql3u8Io

— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) March 22, 2022

Sementara itu, Najib menerusi hantaran di Facebook beliau pada Selasa mempersoalkan mengapa hanya Kit Siang dikenakan kompaun sedangkan veteran DAP itu dilihat berpelukan dengan puluhan orang pada Kongres DAP Ahad lalu.

“Kit Siang seorang je yang kena kompaun? Itu pun satu kompaun berjumlah RM1,000 yang dikeluarkan semalam.

“Tapi yang berpeluk itu adalah berpuluh orang?” soalnya.

Bekas Perdana Menteri itu turut mempersoalkan mengapa beliau dikaitkan dengan kompaun terhadap Kit Siang.

“Entah kenapa dia (Khairy Jamaluddin) kaitkan kompaun Kit Siang dengan saya tapi saya akan bayar lima kompaun anda terhadap saya,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here