Home Koronavirus Bekalan gas PKKN dinaik taraf, rawat pesakit Covid-19 sesak nafas

Bekalan gas PKKN dinaik taraf, rawat pesakit Covid-19 sesak nafas

0
Bekalan gas PKKN dinaik taraf, rawat pesakit Covid-19 sesak nafas

KUALA LUMPUR – Bekalan gas perubatan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Hospital Sungai Buloh yang telah dinaik taraf membantu mempercepatkan rawatan pesakit Covid-19 yang mempunyai gejala sesak nafas.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, PKKN ketika ini digunakan sebagai pusat ‘step down care’ untuk kes-kes Covid-19 terutamanya bagi kes kategori satu dan dua yang tidak memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi dan juga klinik pesakit luar.

“Namun, untuk memastikan kita mempunyai pusat rawatan yang dibekalkan dengan bekalan gas perubatan bagi setiap katil maka kita telah buat pelaburan untuk naik taraf lapan wad di PKKN.

“Ini akan membantu rawatan kes Covid-19 dalam kalangan pesakit dengan gejala sesak nafas untuk cepatkan rawatan supaya mereka dapat pulih dengan kadar segera,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian dan Lawatan Kompleks Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan Projek Naik Taraf Bekalan Gas Perubatan di PKKN Hospital Sungai Buloh dekat sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sebelum itu Khairy dalam ucapannya berkata, projek naik taraf bekalan gas kesihatan ini adalah sebahagian usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menambah baik fasiliti kesihatan awam.

“Ramai yang bertanya apa KKM buat dalam tempoh waktu pandemik untuk pastikan sistem kesihatan awam dapat menampung gelombang Covid-19 yang baharu, ramai pakar kata kita tidak buat apa-apa untuk tambah baik sistem kesihatan.

“Sekarang kita ada sistem gas perubatan yang disediakan di lapan wad di PKKN yang sebelum ini tiada sehingga kita dengar ada katil tapi tiada alat bantuan pernafasan,” katanya.

Projek bernilai RM4.8 juta bermula 16 Ogos 2021 dan siap sepenuhnya pada 11 Oktober tahun sama dilengkapi sistem gas oksigen untuk lapan wad dengan 17 katil di setiap wad, sebuah tangki Vacuum Insulated Evaporator (VIE) oksigen berkapasiti 10,000 liter, sistem vakum perubatan dan sistem udara perubatan empat bar.

Projek itu juga melibatkan kerja naik taraf sistem bekalan air di lapan wad tersebut termasuk empat unit tangki air berkapasiti 8,000 liter setiap unit.

Sementara itu, Khairy berkata, pembinaan baharu Kompleks MRI bernilai RM7.5 juta yang siap 1 November 2021 dengan peralatan dan sistem MRI yang terkini bukan sahaja untuk digunakan pesakit di Hospital Sungai Buloh tetapi juga bagi memenuhi keperluan hospital daerah berhampiran seperti Shah Alam, Tanjung Karang dan Sabak Bernam.

“Projek MRI ini menggantikan MRI lama yang telah beroperasi selama 17 tahun lepas. Ketika ini, tempoh masa menunggu untuk pesakit yang memerlukan MRI adalah agak lama, bagi pemeriksaan neurologi selama lapan minggu manakala pediatrik tiga minggu.

“Saya akan melihat kepada permintaan Hospital Sungai Buloh untuk tambahan mesin MRI kerana keperluannya sangat tinggi, kita buat sama ada daripada perolehan lepas atau penambahan kepada penyumberluaran,” katanya.

Kompleks MRI terbaharu di Jabatan Radiologi, berkeupayaan melakukan ujian sehingga 20 pesakit dalam sehari, tidak termasuk pesakit yang memerlukan pemeriksaan rawatan segera. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here