Home Koronavirus Beberapa negeri capai penggunaan maksimum katil Covid-19: Dr Adham

Beberapa negeri capai penggunaan maksimum katil Covid-19: Dr Adham

0
Beberapa negeri capai penggunaan maksimum katil Covid-19: Dr Adham

PUTRAJAYA – Kadar penggunaan katil hospital kerajaan bagi rawatan Covid-19 di seluruh negara ketika ini ialah 75 peratus dengan beberapa negeri telah mencapai penggunaan maksimum, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan kaedah ‘repurpose’ serta mempertingkat kerjasama dengan hospital swasta dan pusat pengajar hospital universiti bagi memastikan jumlah katil untuk rawatan kes Covid-19 mencukupi.

“Ada juga negeri-negeri di mana penggunaan katilnya capai had maksimum seperti di Johor, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Lembah Klang. Oleh itu, kita telah jalankan aktiviti ‘repurpose’ di mana wad rawatan bukan Covid-19 digunakan untuk rawatan Covid-19.

“Kita juga tambah katil-katil unit rawatan rapi di wad-wad ini dan usaha ini menambahkan jumlah katil di Lembah Klang dan kita juga tingkatkan kapasiti petugas kesihatan yang mahir dalam Covid-19 di lapangan,” katanya pada sidang akhbar secara maya di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, KKM mendapat kerjasama hospital pengajar seperti Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia selain memperoleh kelulusan bersyarat untuk menggunakan Hospital Pakar Kanak-Kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia bagi merawat kes Covid-19.

“Kes-kes akan sampai ke titik kritikal namun usaha untuk sediakan kesiapsiagaan terhadap titik kritikal tersebut giat dilaksanakan melalui kaedah ‘repurpose’ dan kerjasama dengan hospital swasta dan pusat pengajar hospital universiti,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kes-kes tidak kritikal di hospital akan dihantar ke hospital yang tidak digazetkan sebagai hospital Covid-19 sepenuhnya.

“Saya ingin katakan yang KKM sentiasa sedia hadapi cabaran kenaikan kes Covid-19 namun saya mohon semua pihak untuk kurangkan pergerakan bagi membantu kementerian kurangkan tekanan kesihatan awam dan perubatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata, KKM akan meningkatkan lagi strategi pelaksanaan bagi menangani permasalahan kesihatan mental masyarakat termasuk petugas kesihatan yang terkesan oleh penularan pandemik Covid-19.

Katanya, antara strategi yang akan dilaksanakan ialah mempertingkat latihan bantuan asas psikologi kepada barisan hadapan dan anggota agensi lain serta meningkatkan penglibatan pemimpin agama setempat dalam advokasi kesihatan mental. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here