Home Koronavirus Banjir: KKM jangka berlaku peningkatan kes Covid-19

Banjir: KKM jangka berlaku peningkatan kes Covid-19

0
Banjir: KKM jangka berlaku peningkatan kes Covid-19

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan berlaku peningkatan kes Covid-19 susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana pemindahan yang terpaksa dibuat dalam keadaan berisiko tinggi demi menyelamatkan mangsa.

Jelas Khairy, kementeriannya memahami kemungkinan beberapa langkah kesihatan awam tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Kita memahami sebab keutamaan dalam keadaan kita menyelamatkan mangsa banjir ini adalah untuk selamatkan mereka.

“Jadi, beberapa langkah kesihatan awam itu mungkin tidak dapat dipenuhi.

“Contohnya, tidak memakai pelitup muka dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen pada Isnin.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, sistem kesihatan awam KKM di seluruh negara telah dimaklumkan agar siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlaku peningkatan kes.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut memberitahu, sebanyak 181 kes positif Covid-19 dikesan hasil saringan membabitkan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara ketika ini.

Jelasnya, kebanyakan kes yang terlibat terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Setelah kita melaksanakan saringan di PPS, kita dapati ada 181 kes yang dikesan positif tetapi kebanyakan daripadanya adalah kategori satu dan dua.

“Mereka yang positif ini dipindahkan ke sama ada Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) yang telah ditentukan atau pusat pemindahan banjir khusus bagi mereka yang ada kes (positif),” katanya.

Tambahnya, terdapat seramai 206 mangsa banjir pula terdiri daripada kontak rapat.

Jelas beliau, kesemua yang terlibat akan dpindahkan sama ada PPS khusus, PKRC atau stesen kuarantin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here