Home Koronavirus Banduan Penjara Reman Pulau Pinang bebas Covid-19 sejak September

Banduan Penjara Reman Pulau Pinang bebas Covid-19 sejak September

0
Banduan Penjara Reman Pulau Pinang bebas Covid-19 sejak September

GEORGETOWN – Penjara Reman Pulau Pinang mencatatkan sifar kes positif Covid-19 dalam kalangan banduan sejak September lalu.

Timbalan pengarahnya, Mohd Suhairi Awang berkata, semua banduan di penjara itu sudah menerima vaksin Covid-19 jenis Cansino sejak September lalu.

Jumlah terkini banduan di Penjara Reman Pulau Pinang adalah 2,238 orang.

“Selain semua banduan, semua pegawai dan anggota termasuk yang tidak beruniform berjumlah 331 juga telah lengkap divaksin.

“Keadaan Covid-19 dalam kalangan banduan Penjara Reman Pulau Pinang terkawal yang mana ia mencatatkan sifar positif Covid-19 sejak September lalu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Penjara Reman Pulau Pinang di sini pada Rabu.

Katanya, pihak penjara mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat terutamanya ketika banduan keluar masuk untuk ke mahkamah.

“Kami juga akan mengasingkan banduan yang mempunyai simptom ke bangunan khas untuk mengelakkan sebarang jangkitan. Oleh demikian, dengan langkah-langkah ini termasuk divaksin, maka tiada isu jika banduan-banduan hadir di mahkamah.

“Banduan yang baru masuk dan masih belum divaksin akan diasingkan untuk mengelakkan jangkitan sekiranya ada dalam kalangan mereka yang dijangkiti,” katanya.

Mohd Suhairi sebelum itu menerima 2,000 peket kuih dan muruku daripada Pengerusi Malaysia Hindudharma Mamandram, Thanabalan Nanda Kumar sempena sambutan perayaan Deepavali yang bakal disambut pada 4 November ini.

Thanabalan berkata, kesemua makanan kudapan tersebut akan diagihkan kepada semua banduan.

“Selain Penjara Reman Pulau Pinang, kita turut menyerahkan kudapan yang sama kepada Penjara Seberang Perai di Jawi.

“Sumbangan ini adalah aktiviti tahunan yang kami lakukan sejak 20 tahun lalu setiap kali sambutan Deepavali,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here