Home Koronavirus Backlog data kematian sukar dielak, bukan manipulasi

Backlog data kematian sukar dielak, bukan manipulasi

0
Backlog data kematian sukar dielak, bukan manipulasi

SHAH ALAM – Kerajaan disarankan agar memperincikan setiap jumlah kematian harian yang diumumkan dengan lebih jelas kerana data kes tertunggak atau backlog sukar diatasi membabitkan mangsa kematian akibat Covid-19.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, ini kerana setiap kematian yang perlu disahkan sama ada akibat jangkitan Covid-19 ataupun tidak, memerlukan pengesahan ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) dalam tempoh 48 jam.

Bagaimanapun, menurutnya, adalah penting untuk masyarakat faham bahawa meskipun ia adalah data tertunggak, namun kes kematian tersebut tetap berlaku.

“Sukar untuk masukkan data kes kematian harian yang tepat atas beberapa sebab termasuk tempoh pengesahan PCR dan juga kemungkinan terlepas deadline untuk memasukkan data yang akan diumumkan untuk esok.

“(Pengumuman) jumlah kes kematian harian itu mungkin perlu diubah atau diperincikan lagi dengan lebih spesifik, contohnya maklumkan ia adalah data untuk 24 hingga 48 jam lalu.

“Ia penting agar orang faham kematian itu bukan dalam tempoh 24 jam misalnya. Ini kerana apa yang didedahkan ketika ini diumumkan sebagai data harian iaitu hari ini,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa kadar kematian harian akibat Covid-19 di Lembah Klang tidak merujuk kepada keadaan sebenar disebabkan data kes tertunggak atau backlog.

Khairy menjelaskan, data yang dikeluarkan setiap hari sejak kebelakangan ini bukan kematian dalam tempoh 24 jam, sebaliknya ia adalah data yang dimasukkan selepas kemas kini dibuat.

Mengulas lanjut, Dr Hanafiah berkata, beliau menyambut baik tindakan Khairy dalam usaha memberikan data yang lebih telus sebagaimana sasaran prestasi berkhidmat untuk tempoh 100 hari yang ditetapkan kerajaan.

Beliau menegaskan, meskipun berlaku data kes tertunggak, namun tidak semestinya ia menggambarkan berlaku manipulasi data yang didedahkan kerajaan sebelum ini.

“Bagi saya, kalau kita lihat jumlah kematian ataupun kematian di rumah (BID), kematian itu memang dah berlaku. Itulah jumlahnya dan kematian tetap berlaku, kematian itu adalah benar, Covid-19 adalah perkara yang benar.

“Jangan anggap walaupun ia backlog dan sebagainya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau kerajaan cuba memanipulasikan data. Ia adalah kejadian benar tetapi untuk memasukkan data itu, berlaku beberapa halangan bagi kita dapatkan real time untuk diumumkan,” katanya.

Tambah beliau lagi, masyarakat juga tidak seharusnya berasa selesa dan selamat kononnya angka besar kematian yang diumumkan itu bukan jumlah sebenar.

“Nasihat saya, jangan ambil ringan, jangan buat spekulasi atau tuduh kerajaan memanipulasi tetapi jumlah kematian adalah jumlah yang benar,” ujar beliau lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here