Home Koronavirus Aktiviti berkaitan hari raya dibenar: Khairy Jamaluddin

Aktiviti berkaitan hari raya dibenar: Khairy Jamaluddin

Aktiviti berkaitan hari raya dibenar: Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA- [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membenarkan aktiviti takbir hari raya di masjid dan surau seluruh negara.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, aktiviti tersebut juga dibenarkan dari rumah ke rumah tetapi perlu sentiasa memakai pelitup muka.

“Solat sunat hari raya juga dibenarkan diadakan di masjid dan surau dengan kapasiti 100 peratus dengan semua jemaah hendaklah sentiasa memakai pelitup muka sepanjang masa,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya pada Rabu.

Menurutnya, turut dibenarkan, jamuan selepas solat di masjid atau surau, program ziarah, ziarah tanah perkuburan, rumah terbuka atau majlis hari raya indoor serta outdoor.

“Individu yang disahkan positif Covid-19 dan bergejala adalah dilarang menyertai aktiviti tersebut,” katanya.

Beliau berkata, protokol berkaitan sambutan hari raya itu adalah bagi memastikan Keluarga Malaysia menyambutnya dalam keadaan yang meriah dan selamat.

“Protokol ini adalah sebagai panduan umum namun, tertakluk kepada ketetapan dan prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak berkuasa agama negeri,” katanya.

Khairy berkata, salam tangan turut adalah dibenarkan dengan mematuhi etika dan penjagaan kebersihan tangan.

“Sentiasa mencuci atau membersihkan tangan dan jangan sentuh muka selepas bersalaman,” katanya.

Ujarnya, semua senarai aktiviti yang tidak dibenarkan di dalam SOP Majlis Keselamatan Negara terbitan 1 April 2022 digugurkan mulai 15 Mei depan.

“Agensi berkaitan sedang menyediakan protokol bagi pengoperasiannya,” katanya.

Menyifatkan Aidilfitri pada tahun ini sebagai satu rahmat, Khairy berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan perayaan tidak berakhir dengan kemudaratan.

“Kebebasan ini bukanlah bermakna kita telah menang dalam peperangan melawan Covid-19 dan perlu pastikan perayaan ini tidak berakhir dengan kemudaratan.

Walaupun tidak bergejala, kita berkemungkinan menjadi pembawa virus Covid-19,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai mengamal dan melakukan ujian kendiri sebelum pulang ke kampung.

“Langkah ini untuk pastikan ahli keluarga yang berisiko tinggi dilindungi daripada mendapat gejala teruk Covid-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here