Home Koronavirus Aidilfitri: Kekalkan sikap hati-hati, elak jangkitan Covid-19

Aidilfitri: Kekalkan sikap hati-hati, elak jangkitan Covid-19

0
Aidilfitri: Kekalkan sikap hati-hati, elak jangkitan Covid-19

Gambar hiasan – Foto 123RF

SHAH ALAM – Masyarakat di negara ini diingatkan tidak memandang ringan terhadap keperluan memelihara amalan selamat dan sihat bagi menghindari jangkitan baharu Covid-19 ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia susulan laporan berlakunya lonjakan jangkitan kes di beberapa negeri baru-baru ini

“Walaupun keadaan hari ini adalah jauh lebih baik, namun kita tidak harus memandang enteng dan bersikap lepas kendali terhadap keperluan memelihara amalan selamat dan sihat.

“Terutamanya dengan kehadiran subvarian Omicron XBB1.5 yang lebih mudah tersebar apabila pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan.

“Sikap berhati-hati yang berterusan adalah perlu dan penting kerana pergerakan manusia yang lebih luas dan himpunan keluarga pada masa perayaan menjadi antara faktor utama yang diketahui menyumbang kepada peningkatan jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam masa sama, Takiyuddin juga mengingatkan agar masyarakat tidak melupakan golongan kurang bernasib baik sewaktu meraikan ketibaan Syawal.

“Kita tidak harus sama sekali melupakan solidariti dengan anggota masyarakat yang daif, teraniaya serta kurang bernasib baik yang menjadi antara tujuan utama ibadah wajib mahupun sunat pada bulan yang diberkati itu.

“Kepekaan, kepedulian, sikap tawaduk dan akhlak mulia yang terbina sepanjang Ramadan harus kekal bersama kita pada bulan-bulan berikutnya dan tidak digantikan oleh kerakusan nafsu, budaya pesta serta kepentingan diri yang melampaui batas dan berlawanan sama sekali dengan idea dan matlamat bulan ibadah dan sedekah yang baru kita tempuhi bersama itu,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Pas turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam di seluruh negara dengan harapan sambutan tahun ini akan dilalui dalam keadaan penuh kesyukuran, selamat dan gembira bersama kaum keluarga dan rakan taulan.