SEREMBAN – Seramai 804,844 individu atau 98 peratus, daripada populasi dewasa di Negeri Sembilan lengkap menerima vaksin Covid-19.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, seramai 918,609 penduduk dewasa di negeri berkenaan menerima dos pertama manakala 804,844 orang selesai menerima dua dos.
Katanya, kadar penggunaan fasiliti kesihatan di Negeri Sembilan juga menunjukkan prestasi baik dengan membabitkan tiga segmen utama iaitu penggunaan alat bantuan pernafasan, unit rawatan rapi serta penggunaan katil hospital yang berada di bawah paras 60 peratus.
“Kadar penggunaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) menunjukkan peningkatan sebanyak 83 peratus berikutan beberapa kluster baharu dikesan di Negeri Sembilan sejak kebelakangan ini.
“Walaupun begitu, rakyat Negeri Sembilan tidak harus bimbang kerana buat masa ini hanya sebuah PKRC Awam masih dibuka, dan lain-lain sudah ditutup,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, kerajaan negeri masih mempunyai alternatif sekiranya terdapat keperluan untuk meningkatkan kapasiti PKRC, jika memerlukan.
Dalam pada itu, Aminuddin mengingatkan kepada semua pihak supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sekiranya rentas negeri dibenarkan.
“Pematuhan SOP adalah sangat penting kerana negara sedang menuju ke arah fasa endemik. Oleh itu, setiap daripada kita harus memainkan peranan untuk memastikan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat sekitar,” katanya.