KUALA LUMPUR – Seramai 22,350,755 individu atau 95.5 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, setakat 11.59 malam tadi.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) melalui laman COVIDNOW, sejumlah 22,891,163 individu atau 97.8 peratus bagi populasi dewasa pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi populasi remaja, 81.4 peratus atau 2,563,344 individu telah lengkap vaksinasi manakala 87.2 peratus atau 2,745,553 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
Sebanyak 117,736 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 20,013 suntikan dos lengkap, 6,243 menerima dos pertama dan 91,480 pula mendapat suntikan dos penggalak.
Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 51,591,383. -Bernama