KUALA LUMPUR – Malaysia kini mencatat 90.9 peratus populasi dewasa atau 21,290,960 individu lengkap menerima dos vaksinasi Covid-19 setakat 11.59 malam tadi.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) yang disiarkan di portal CovidNow, sebanyak 94.9 peratus populasi dewasa atau 22,230,828 individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Selain itu, sejumlah 207,520 dos vaksin diberikan semalam melibatkan golongan dewasa dan remaja.
Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar sejak 24 Februari lepas meningkat kepada 46,252,254 dos bagi golongan dewasa.
Bagi golongan kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat semalam 453,906 atau 14.4 peratus melengkapkan suntikan vaksin, manakala 75.9 peratus atau 2,390,062 individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi PICK Remaja yang bermula sejak 8 September lepas. -Bernama