Home Koronavirus 8,434 kes sembuh Covid-19

8,434 kes sembuh Covid-19

0
8,434 kes sembuh Covid-19

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 8,434 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kepada 4,291,447 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada masa sama 5,899 kes baharu Covid-19 direkodkan pada Khamis menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 4,415,101 dengan 5,883 kes tempatan dan 16 kes import.

“Bagi pecahan daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,582 kes atau 43.77 peratus adalah daripada pesakit Covid-19 kategori satu, sementara 3,294 kes atau 55.84 peratus adalah pesakit kategori dua.

“Bagi kategori tiga, terdapat lapan kes (0.14 peratus), kategori empat dengan 10 kes (0.17 peratus) dan bagi kategori lima adalah sebanyak lima kes (0.08 peratus),” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan 23 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, tujuh kes dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

“13 kes pula sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi tidak menerima dos penggalak. Sebanyak tiga kes pula sudah menerima dos penggalak.

“Selain itu, 13 kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. 13 kes lagi mempunyai komorbid dan satu melibatkan kes ibu mengandung,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, hanya satu kluster baharu direkodkan pada Khamis menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif sebanyak 101.

Menurut beliau, sebanyak 92 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 56 daripadanya disahkan Covid-19, manakala kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan pula adalah sebanyak 36.

Katanya, bagi kes memerlukan bantuan pernafasan pula, sebanyak 61 kes dilaporkan dengan 34 kes disahkan Covid-19 dan 27 lagi kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Pada masa sama, tiada negeri mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi katil kes kritikal atau ICU.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here