Home Koronavirus 80 peratus pekerja industri di Kedah sudah lengkap dua dos vaksin

80 peratus pekerja industri di Kedah sudah lengkap dua dos vaksin

0
80 peratus pekerja industri di Kedah sudah lengkap dua dos vaksin

KUBANG PASU – Kira-kira 80 peratus daripada 100,000 pekerja industri di negeri Kedah telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 melalui program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, kerajaan negeri menyasarkan keseluruhan pekerja dalam sektor terbabit akan lengkap menerima suntikan berkenaan pada awal Oktober ini.

Katanya, daripada jumlah terbabit, 53 peratus pekerja menerima vaksin melalui program PIKAS hasil inisiatif kerajaan pusat dan agensi kerajaan serta swasta untuk mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan pemain industri.

“Namun ada juga beberapa majikan yang mengeluarkan peruntukan sendiri untuk membayar vaksin bagi pekerja mereka di pusat kesihatan swasta,” katanya ketika melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), di Dewan Besar Institut Pengurusan Malaysia Kampus Darul Aman (IPG) Darul Aman, di sini pada Selasa.

Menurutnya, peratus vaksinasi yang tinggi dalam kalangan pekerja industri membolehkan kira-kira 90 peratus kilang di negeri ini dapat beroperasi seperti biasa dengan kapasiti yang dibenarkan.

“Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menetapkan kadar kapasiti pekerja yang dibenarkan untuk bekerja adalah berdasarkan peratus pekerja yang telah divaksin.

“Jadi, Kedah berada pada waktu yang tepat kerana proses vaksinasi kita telah hampir 100 peratus. Ini bermakna kilang kita dapat beroperasi untuk menampung permintaan industri dan mengelakkan pekerja hilang sumber pendapatan,”katanya.

Ku Abd Rahman berkata, sebagai persediaan untuk menempuhi fasa endemik, pengurusan kilang dinasihati untuk menerapkan budaya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kepada pekerja mereka.

“Pada fasa ini, bukan lagi soal kompaun tetapi bagaimana kita hendak mendidik pekerja kilang untuk terus patuh SOP.

“Insya-ALLAH, dalam masa terdekat saya akan adakan perjumpaan dengan pengurusan kilang untuk berbincang apa lagi yang perlu kita tekankan untuk menjaga SOP.

“Mungkin kita boleh adakan pertandingan SOP terbaik antara kilang untuk pastikan SOP ini terus menjadi budaya kita supaya wabak ini tidak menular dan ekonomi tidak lumpuh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here