Home Koronavirus 8.5 juta ujian saringan dijalankan bagi hadapi gelombang ketiga

8.5 juta ujian saringan dijalankan bagi hadapi gelombang ketiga

0
8.5 juta ujian saringan dijalankan bagi hadapi gelombang ketiga

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan sebanyak 8,573,873 ujian saringan Covid-19 sejak 1 Januari sehingga 13 Mei di seluruh negara sebagai langkah menghadapi gelombang ketiga pandemik tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka berkenaan menunjukkan peningkatan jumlah saringan yang telah dijalankan berbanding bulan sebelumnya di mana purata jumlah ujian mingguan yang telah dijalankan adalah sebanyak 369,456 sampel iaitu peningkatan sebanyak 23.6 peratus.

“Ini merangkumi sebanyak 4,747,837 ujian real-time Reverse-Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan 3,826,036 ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag) termasuk saringan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan bukan Perkeso.

“Purata jumlah ujian saringan yang telah dijalankan secara harian adalah sebanyak 63,925 sampel dari 7 Mei 2021 hingga 13 Mei 2021.

“Purata jumlah ujian mingguan dari Minggu Epid (ME) ke-15 hingga ME ke-18 adalah sebanyak 483,518 sampel,” katanya dalam siaran di Facebook pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelbagai langkah kesiapsiagaan telah dilaksanakan bagi menghadapi pertambahan bilangan kes wabak Covid-19 di negara ini.

Antaranya termasuk menambah kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian diagnostik RT-PCR; penyumberluaran ujian saringan Covid-19 ke makmal swasta; penggunaan ujian RTK-Ag sebagai ujian saringan Covid- 19 bagi mengesan wabak dengan cepat dan pengujian saringan menggunakan air liur yang boleh dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat.

“Masyarakat diingatkan untuk terus mengamalkan prosedur standard operasi (SOP) yang telah digariskan khususnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Bagi mereka yang telah menjalani ujian pengesanan Covid-19, apabila telah menerima keputusan, mereka boleh memaklumkan kepada KKM melalui aplikasi MySejahtera iaitu pemberitahuan diri (self-notification).

“Individu yang telah diambil sampel perlu menjalankan pengasingan kendiri sehingga keputusan ujian saringan didapati negatif,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here