Home Koronavirus 780 kluster perkilangan dikesan

780 kluster perkilangan dikesan

780 kluster perkilangan dikesan

PUTRAJAYA – [DIKEMASKINI] Sektor perkilangan merupakan subkluster Covid-19 tertinggi dikesan membabitkan 780 kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sektor itu merupakan antara tiga subkluster tertinggi dikenalpasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut beliau, selain sektor perkilangan, sektor perkhidmatan dan pembinaan masing-masing merekodkan 260 serta 181 kluster.

“Sejak 28 Mac sehingga 17 Ogos, KKM melaporkan 1,549 kluster tempat kerja yang melibatkan 133,247 kes positif, 32 kes sedang mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

“Terdapat 370 kes kematian dilaporkan dalam kluster ini bagi tempoh sama selain 765 kluster masih aktif dan di bawah pemantauan wabak,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dr Noor Hisham berkata, negeri yang melaporkan kluster tempat kerja tertinggi adalah Selangor (414 kluster), Johor (322 kluster) dan Kuala Lumpur (149 kluster).

Beliau berkata, sejak permulaan fasa kedua gelombang ketiga sehingga kini, KKM turut melaporkan 880 kluster komuniti melibatkan 58,776 kes positif, 14 kes masih di ICU, 417 kes kematian dan 439 kluster masih aktif.

“Negeri yang melaporkan kluster komuniti tertinggi adalah Kelantan sebanyak 239 kluster, Sarawak (171 kluster) dan Sabah (94 kluster).

“Kluster komuniti yang dilaporkan ini berpunca daripada penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga atau kontak rapat seperti aktiviti ziarah menziarahi atau penularan di kawasan kediaman sebanyak 481 kluster, komuniti rumah panjang (44) dan majlis sambutan perayaan (55),” katanya.

Tambahnya, siasatan epidemiologi di lapangan mendapati bahawa walaupun telah ada larangan bagi mengadakan majlis sosial atau menerima pelawat dan tetamu, masih ada di kalangan masyarakat yang menjalankan tersebut seterusnya mencetuskan kluster dalam komuniti.

Dr Noor Hisham berkata, KKM memahami kepentingan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi dan sosial secara berperingkat berdasarkan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu bagi mengimbangi usaha menyelamatkan nyawa serta aktiviti mata pencarian.

“Pada masa yang sama KKM juga berusaha sedaya upaya dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dan memfokuskan usaha untuk menangani risiko bagi mengelakkan pembentukan lebih banyak kluster,” katanya.

Tegas beliau, setiap tindakan KKM memerlukan kerjasama dan kepatuhan semua pihak agar ianya berjaya dikawal kerana situasi Covid-19 negara masih di tahap membimbangkan.

“Kita wajar mengambil pengajaran daripada peristiwa sebelum ini sehingga membawa kepada banyak kematian akibat Covid-19 serta penutupan pelbagai sektor ekonomi dan sosial berikutan peningkatan kluster di tempat kerja dan kluster komuniti.

“Kita seharusnya sama-sama mengambil rasa tanggungjawab dalam memelihara negara daripada terus dibelenggu oleh pandemik Covid-19 dan semoga unit kehidupan kita dapat segera pulih serta berfungsi seperti sedia kala bagi memacu negara ke arah yang lebih sejahtera,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here