Home Koronavirus 7 penduduk PKPD maut akibat Covid-19

7 penduduk PKPD maut akibat Covid-19

0
7 penduduk PKPD maut akibat Covid-19

KUALA LUMPUR – Sebanyak 300 kes positif dan tujuh kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Perumahan Awam Desa Rejang, di sini sejak tempoh Sekatan Pergerakan Penuh bermula 1 Jun hingga Khamis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kawasan perumahan awam seluas 20.28 ekar ini meliputi 12 blok dengan 2,791 unit kediaman.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dianggarkan terdapat 12,000 penduduk terdiri daripada 70 peratus kaum Melayu, Cina (20 peratus) dan India (10 peratus).

“Berikutan jumlah kes yang meningkat, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kawasan perumahan awam ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Jumaat hingga 1 Julai.

“Kawasan yang dikelilingi kawat duri sepanjang 1.2 kilometer ini merekodkan 300 kes positif Covid-19 dengan blok F dan L mencatatkan kes yang tertinggi.

“Selain itu, tujuh kes kematian juga dilaporkan akibat Covid-19 sejak 1 Jun lalu,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan di lokasi terbabit pada Jumaat.

Beliau berkata, seramai 250 petugas daripada sembilan agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan DBKL terlibat sepanjang tempoh PKPD di lokasi itu.

Jelas beliau, pihaknya akan membantu KKM untuk melaksanakan ujian saringan bagi mengenal pasti penduduk yang positif Covid-19.

Justeru, semua penduduk diingatkan agar patuh dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa supaya proses saringan kesihatan berjalan lancar.

Dalam pada itu, Ashari mengingatkan supaya penduduk tidak bimbang berkenaan bekalan makanan kerana pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan bantuan dan akan diagihkan secara berjadual.

“Kepada penduduk yang ada temu janji suntikan vaksin Covid-19 pula, perkara itu sedang dirujuk dengan pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sama ada tarikh itu akan ditunda atau pun petugas kesihatan akan berada di lokasi ini. Perkara ini akan diputuskan dalam masa terdekat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here