NIBONG TEBAL – Pulau Pinang merupakan negeri kedua tertinggi di Malaysia bagi vaksinasi dos penggalak Covid-19 dengan 60.9 peratus populasi telah menerima suntikan berkenaan selepas Lembah Klang sebanyak 69.8 peratus.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, individu yang masih belum menerima dos penggalak digalakkan untuk segera mendapatkannya.
“Golongan warga emas dan mereka yang ada sejarah penyakit kronik juga digalakkan menerima dos keempat selari dengan seruan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Pecah Tanah Nibong Tebal Arena di sini, pada Selasa.
Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai tujuh juta rakyat Malaysia masih belum mengambil dos penggalak Covid-19 setakat ini dan menasihati mereka segera berbuat demikian.
Beliau berkata walaupun suntikan itu tidak diwajibkan, namun ia amat penting memandangkan kes positif Covid-19 kembali menunjukkan peningkatan selain turut membantu berdepan varian baharu wabak itu terutamanya Omicron BA.5 yang lebih mudah menjangkiti.
Dalam perkembangan lain Kon Yeow berkata, kos pembinaan gelanggang badminton dan dewan serbaguna Nibong Tebal Arena itu berjumlah RM8.78 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2023.
“Kerajaan negeri percaya cadangan bagi membina gelanggang badminton dan dewan serbaguna seluas 7316.72 meter persegi ini mampu memberi nilai tambah kepada kemajuan pembangunan di daerah Seberang Perai Selatan.
“Masa depan Pulau Pinang terletak di kawasan Seberang Perai dan kerajaan negeri komited untuk terus berusaha memastikan Seberang Perai menjadi pemangkin pertumbuhan masa depan di negeri ini,” katanya. – Bernama