Home Koronavirus 513,044 terima dua dos vaksin setakat Isnin: Dr Adham

513,044 terima dua dos vaksin setakat Isnin: Dr Adham

0
513,044 terima dua dos vaksin setakat Isnin: Dr Adham

KUALA LUMPUR – Sebanyak 513,044 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat Isnin, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau menerusi akaun Twitternya pada Selasa berkata, bagi tempoh sama, sebanyak 822,201 individu telah menerima dos pertama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 1,335,245 dos setakat Isnin.

Menerusi satu infografik yang dikongsikan, Dr Adham berkata, lima negeri yang menerima suntikan dos pertama tertinggi ialah Selangor dengan 107,533 dos diikuti Kuala Lumpur (87,744), Sarawak (86,835), Johor (74,134) dan Sabah (67,474).

Lima negeri tertinggi yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat Isnin pula ialah Selangor dengan 71,877 dos, diikuti Sarawak dengan 52,764, diikuti Perak (50,737), Sabah (46,034) dan Kuala Lumpur (45,704).

Menurut Dr Adham, setakat Isnin hanya 38.30 peratus atau 9,302,306 daripada golongan sasaran telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi sebanyak 2,421,333 pendaftaran atau 50 peratus.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya, manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei hingga Februari 2022 melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here